KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) optimis Malaysia mampu mencapai nilai eksport sarung tangan getah RM23.6 bilion pada tahun ini susulan terdapat peningkatan dalam budaya kebersihan di kalangan masyarakat dunia.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata keperluan untuk menggunakan sarung tangan getah sebagai satu cara hidup mencerminkan masyarakat yang bersih dan ia sekaligus akan meningkatkan permintaan bagi pasaran sarung tangan getah.

"Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjangkakan walaupun selepas pandemik, penggunaan sarung tangan getah akan bertambah secara bertahap dalam 10 peratus.

"Melihat kepada penyemaian budaya kesihatan di seluruh dunia, saya amat positif dan yakin keperluan dalam penggunaan sarung tangan getah akan terus berkembang dan ini akan melonjakkan permintaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) Persidangan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa ke-10 semalam.  

MARGMA telah mengunjurkan nilai eksport sarung tangan getah sebanyak RM23.6 bilion pada tahun ini berbanding RM17 bilion yang dicatatkan semasa 2019 serta kadar pertumbuhan permintaan sarung tangan getah dari tahun ke tahun sebanyak 10 hingga 12 peratus pada 2022.

"Unjuran ini adalah dalam keadaan biasa, kita tidak ambik kira sewaktu COVID-19 selama dua tahun apabila eksport sarung tangan getah melambung tinggi.

"Jangkaan ini masih agak konservatif, saya percaya kita boleh buat lebih baik.

"MARGMA juga telah mengenal pasti negara-negara baharu yang boleh kita tembusi untuk memastikan sarung tangan getah kita masih mendapat permintaan tinggi," katanya.

Sementara itu, Presiden MARGMA Dr Supramaniam Shamugan dalam acara itu mengatakan bahawa pemain industri sedang mengharungi tempoh yang mencabar termasuk perang Rusia yang berpanjangan.

Bagaimanapun, turun naik dalam Purata Harga Jualan serta permintaan/bekalan, yang dialami sementara oleh stok dalam rantaian bekalan dijangkakan sebagai kesan daripada peningkatan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan global termasuk keperluan pengawalseliaan yang lebih baik, yang mungkin akan mendorong permintaan lebih jauh iaitu 12 peratus kepada 15 peratus menjelang 2023," katanya.

Permintaan global sarung tangan dianggarkan sebanyak 399 bilion untuk 2022 dan Malaysia dianggarkan menghasilkan 240 bilion sarung tangan pada tahun berkenaan.

"Pemain sarung tangan getah Malaysia yang sudah pun memiliki pengalaman dan jejak yang kukuh akan dapat mengatasi cabaran -cabaran ini tetapi memberi amaran jika Malaysia mahu mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport nombor satu sarung tangan getah yang terkemuka, ada ruang untuk penambahbaikan khususnya dalam dasar kerajaan yang perlu bersifat mesra perniagaan.

"Industri sarung tangan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan agar ia mampu menjadi antara industri pertama di rantau ini yang mempunyai pematuhan sosial memandangkan industri itu mempunyai usul jualan yang unik," katanya.

Semalam, MARGMA dengan hos bersama iaitu Majlis Getah Malaysia (MRC) telah memeterai MoU dengan 18 penaja utama Pameran Persidangan Sarung Tangan Getah Antarabangsa ke-10 (IRGCE) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September depan. 

IRGCE ke-10 yang bertajuk "Memecahkan Sempadan : Inisiatif Penggubah Permainan" akan menampilkan inovasi, pembangunan serta trend terkini dalam industri sarung tangan getah dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dengan mempamerkan produk sarung tangan getah termasuk produk berkaitan dalam rantaian bekalan.

Sejumlah 224 syarikat dari 17 negara akan mengambil bahagian dalam IRGCE ke -10, menjadikannya acara sarung tangan getah terunggul yang pernah diadakan di seluruh dunia. Malaysia mempunyai penyertaan terbesar dengan 143 syarikat diikuti oleh China, United Kingdom, Jerman, Thailand, Taiwan dan India

IRGCE 2022 ke -10 kali ini dianjurkan dengan sokongan Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Thailand (TRGMA) dan Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Indonesia (IRGMA).

Acara ini mendapat dukungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Getah Malaysia (MRB), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Perbadangan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

-- BERNAMA