KUALA LUMPUR: Lebih ramai majikan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja mereka pada 2021 berbanding 2020, menandakan pemulihan perniagaan yang positif di negara ini, menurut Tinjauan Gaji Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bagi Eksekutif dan Bukan Eksekutif 2021.

Memetik Tinjauan Gaji MEF tahunan ke-27 yang dilancarkan hari ini, Presiden Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata 65.20 peratus daripada syarikat responden memberikan kenaikan gaji sama ada kepada semua atau kakitangan eksekutif tertentu pada 2021 berbanding 58.40 peratus pada 2020, manakala 66.40 peratus memberikan kenaikan gaji kepada semua atau kakitangan bukan eksekutif tertentu pada 2021 berbanding 61.70 peratus pada 2020.

"Purata kenaikan gaji bagi eksekutif pada 2021 ialah 4.40 peratus, bagi bukan eksekutif, purata kenaikan gaji pada 2021 adalah pada 4.43 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hussain berkata tinjauan itu juga mengunjurkan purata kenaikan gaji bagi eksekutif pada 2022 ialah pada 4.37 peratus, manakala bagi bukan eksekutif, purata unjuran kenaikan gaji untuk 2022 ialah pada 4.17 peratus.

"Kira-kira 60 peratus syarikat menentukan gaji berdasarkan tahap keuntungan atau produktiviti, manakala lebih separuh daripada syarikat menentukan kuantum kenaikan gaji berdasarkan kadar pasaran," katanya.

Dari segi bonus, Syed Hussain berkata tinjauan itu menunjukkan bahawa 68.30 peratus daripada syarikat responden memberikan bonus kepada eksekutif dan bukan eksekutif pada 2021, dan mengunjurkan bonus untuk 2022 ialah 1.82 dan 1.66 bulan masing-masing untuk eksekutif dan bukan eksekutif.

-- BERNAMA