KUALA LUMPUR: Linde mengumumkan permulaan operasi loji pemisahan udara baharu bernilai RM40 juta di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya di Kuching, Sarawak.

Loji ini akan membekalkan gas nitrogen ketulenan tinggi menerusi rangkaian perpaipan yang meluas kepada berbilang pelanggan termasuk Taiyo Yuden dan LONGi. Oksigen cecair berketulenan tinggi juga akan dihasilkan bagi pelanggan di Kuching dan seluruh rantau ASEAN.

Pengarah Urusan Linde Malaysia, Anuj Sharma berkata, kadar pendigitalan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih pantas telah menyaksikan para pemimpin industri dalam pasaran elektronik dan teknologi solar berkembang pesat di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya.

Menurutnya, Linde telah beberapa kali menyuntik pelaburan dalam tempoh beberapa tahun lepas untuk menyokong pertumbuhan ini, dengan projek terbaharu meningkatkan kapasiti nitrogen Linde di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya kepada lebih daripada 18,000 Nm3/h.

Loji baharu ini akan menggunakan teknologi terkini Linde dengan kecekapan kuasa 30% lebih tinggi, yang dijangka mengurangkan pelepasan gas rumah hijau lebih daripada 6,000 tan setahun.

Langkah ini adalah sejajar dengan sasaran Linde untuk mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 35% menjelang 2028.

Loji tersebut akan dihubungkan kepada Pusat Operasi Jarak Jauh (ROC) Linde yang terletak di Hicom Shah Alam, Selangor dan boleh dipantau, dikawal, serta dikendalikan dari jarak jauh.

Keupayaan operasi jarak jauh banyak membantu Linde memastikan bekalan gas perindustrian dan perubatan secara berterusan serta boleh dipercayai kepada pelanggan sepanjang pandemik.

Anuj berkata Linde telah beberapa kali melabur di Taman Teknologi Sama Jaya sejak 1995.

“Saya berbangga untuk melihat loji terbaharu ini dimulakan dengan teknologi paling cekap yang akan menyokong pertumbuhan pelanggan kami. Pelaburan besar ini menunjukkan keyakinan kami terhadap Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya dan Malaysia,” jelas beliau.

Sejak 1960, Linde telah melabur untuk membina pelbagai kemudahan bertaraf dunia di Malaysia, termasuk Unit Pemisahan Udara di Pengerang, Shah Alam, Sama Jaya, Bintulu dan Pasir Gudang, alat reformasi metana stim (loji hidrogen) dan loji nitrogen di lokasi-lokasi strategik di seluruh Malaysia, rangkaian paip bagi oksigen serta nitrogen bagi pelbagai kelompok industri di kawasan-kawasan perindustrian penting, dan kemudahan pengisian silinder terkini di Banting.

Linde juga menubuhkan Pusat Operasi Jarak Jauh (ROC) di Hicom, yang membolehkan pemantauan, pengendalian dan kawalan jarak jauh lebih daripada 100 loji Linde di serata ASEAN dan Pasifik Selatan.

Syarikat ini turut menghasilkan oksigen perubatan dan gas perubatan lain di pelbagai lokasi di Malaysia Barat dan Timur.

Linde adalah syarikat industri gas dan kejuruteraan global yang terkemuka dengan penjualan sebanyak $27 bilion (€24 bilion) pada tahun 2020. 


Artikel asal di DagangNews.com