KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah berjaya menetapkan harga dan menerbitkan Sukuk Wakalah Kanan kedua berjumlah RM800 juta menurut Program Sukuk Wakalah bernilai RM5 bilion dalam nilai nominal.

Tawaran dwi-tranche itu terdiri daripada sukuk RM500 juta 3 tahun dan sukuk RM300 juta 5 tahun.

Pada kemuncak langkah book-building, Sukuk Wakalah Kanan telah terlebih langgan sebanyak 10 kali daripada saiz terbitan awal sebanyak RM500 juta.

Berikutan permintaan menggalakkan daripada pelabur dan kadar lebihan langganan, Sukuk Wakalah Kanan telah dinaikkan kepada RM800 juta, dengan nisbah yang sangat kukuh sebanyak 3.5 kali pada penutupan.

Dengan kadar langganan yang kukuh ini membolehkan MAHB mengetatkan hasil kepada kadar keuntungan akhir sebanyak 3.79% setahun dan 3.98% setahun, lebih rendah daripada hasil dagangan sukuk MAHB sedia ada dalam pasaran.

Tawaran itu diterima baik oleh kumpulan pelabur yang pelbagai dan digemari oleh pengurus aset dan institusi kewangan.

Dalam kenyataan pada Rabu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, kejayaan terbitan terbaru ini adalah bukti keyakinan pelabur terhadap trajektori pemulihan dan pertumbuhan MAHB disokong ekonomi yang semakin baik serta perjalanan antarabangsa.

"MAHB berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pembukaan semula sempadan dan asas kami yang kukuh akan membantu memajukan perniagaan kami dalam era perjalanan baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sukuk Wakalah Kanan di bawah Program Sukuk Wakalah telah diberikan penarafan awal AAA dengan prospek stabil oleh RAM Rating Services Bhd.

Penarafan yang menggalakkan mencerminkan profil perniagaan MAHB yang kukuh, rekod prestasi pengurusan kewangan yang berhemat dan kepentingan strategik operasi perniagaan kumpulan kepada kerajaan memandangkan peranannya sebagai pengendali tunggal bagi semua 39 lapangan terbang milik kerajaan di Malaysia.

Hasil yang diperoleh daripada Sukuk Wakalah ini akan digunakan oleh Malaysia Airports Group untuk membiayai semula pinjaman matangnya pada kadar pembiayaan yang lebih rendah.

HSBC Amanah Malaysia Bhd. dan Maybank Investment Bank Bhd. ialah Penasihat Utama Bersama dan Penyusun Utama Bersama bagi Program Sukuk Wakalah, manakala HSBC Amanah Malaysia Bhd., Maybank Investment Bank Bhd. dan RHB Investment Bank Bhd. ialah Pengurus Utama Bersama bagi Program Sukuk Wakalah. - DagangNews.com