KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi keutamaan kepada amalan pengeluaran dan penggunaan mampan di seluruh sektor dengan mengenal pasti dan menyasarkan aktiviti ekonomi yang banyak menyumbang kepada pelepasan karbon di negara ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan membangunkan dasar bagi memastikan aktiviti terbabit melakukan pelepasan karbon dengan lebih efektif terutamanya dalam sektor elektrik, pengangkutan dan bandar raya.

Mengikut kaji selidik BP, pelepasan karbon dioksida (CO2) Malaysia adalah sebanyak 250.3 juta tan tahun lepas, meningkat daripada 241.6 juta tan pada tahun sebelumnya, dengan tenaga (penggunaan elektrik), mobiliti (kenderaan) dan sisa buangan merupakan sumber utama pelepasan karbon (sisa pejal perbandaran yang berakhir di tapak pelupusan sampah).

"Malaysia sedang bergerak ke arah ke hala tuju yang betul, kita telah memetakan semua inisiatif belanjawan kita kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), membolehkan kita memadankan dengan lebih baik lagi landskap nasional program pembiayaan dengan projek berkaitan SDG.

"Hasilnya, kita sebenarnya merupakan antara 10 negara di dunia ini yang telah menyelaraskan sepenuhnya belanjawan nasional kita kepada SDG berasaskan kepada penilaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya semasa wawancara utama: 'Malaysia's Sustainability Agenda', hari ini.

Wawancara itu diadakan bersempena dengan Persidangan Maya Minggu Kewangan Mampan pada Expo 2020 Dubai yang bermula hari ini.

Tengku Zafrul berkata langkah-langkah kemampanan seperti peralihan kepada amalan karbon rendah, perlindungan alam sekitar dan biodiversiti serta pemerkasaan komuniti turut diliputi dalam Bajet 2022 Malaysia yang dibentangkan baru-baru ini.

"Kita juga merancang menerbitkan bon Sukuk denominasi ringgit kemampanan pertama kerajaan. Ini akan membolehkan Malaysia bukan sahaja memenuhi komitmennya sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab dan penandatangan Perjanjian Paris, tetapi juga membantu lagi usaha negara untuk mensejahterakan rakyat dan sosial-ekonominya.

"Jadi ia sebenarnya bukti kepada usaha kita menangani perubahan iklim serta mempercepat peralihan kepada ekonomi lebih berdaya tahan dan inklusif.

"Justeru pada masa depan, kerajaan merancang untuk menerbitkan lebih banyak bon dan sukuk yang menumpukan kepada projek mesra alam sekitar dan sosial," katanya sambil menambah ini menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengambil pendekatan keseluruhan negara ke arah kemampanan dan sektor kewangan juga memainkan peranan penting dalam melengkapi usaha padu kerajaan ini.

Tengku Zafrul berkata setiap pemegang kepentingan kini menunjukkan peralihan kepada kewangan mampan yang akan menjadi pendorong kepada peralihan ekonomi.

Minggu Kewangan Mampan itu yang dihoskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (AS) dijangka menarik peserta dari seluruh dunia yang termasuk pengawal selia, pengantara sektor kewangan, pengurus dana dan pelabur pasaran swasta.

Persidangan itu yang bertemakan "Enabling Sustainable Development Through Islamic Finance" akan mengetengahkan peranan kewangan Islam sebagai pemboleh untuk mencapai SDG PBB dan kedudukan Malaysia sebagai penggerak awal dalam menyelaraskan pembangunan mampan dengan kewangan Islam.

--BERNAMA