KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan terus terlibat dalam kerjasama ekonomi kerajaan dengan kerajaan serta menarik lebih banyak syarikat China untuk melabur dalam sektor automotif tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa yang sama, sektor automotif juga perlu memastikan ekosistemnya memenuhi matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang mencerminkan keperluan pada masa depan.

"Pengasas dan Pengerusi Geely Holding Group, Eric Li telah memaklumkan kepada saya tentang inisiatif segera untuk melaksanakan peralihan termasuk mempunyai kenderaan elektrik (EV) serta (kenderaan berkuasa) petroleum dan gas.

"(Ini) akan memudahkan peralihan (kepada EV) dan melihat secara pragmatik kepada perubahan itu dan pelaksanaannya," katanya ketika melancarkan model kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) pertama Proton Holdings Bhd (Proton), Proton X90 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini pada Ahad.

Anwar juga menggesa agar Proton untuk bergerak maju ke hadapan dan mendapatkan semula kedudukannya sebagai syarikat automotif terkemuka, menjadikan Malaysia sebagai hab eksport.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangannya dengan Li, bagi memastikan Proton-Geely mencapai kecemerlangan, tumpuan perlu diberikan kepada latihan berkualiti dalam bidang yang mungkin tidak diketahui oleh rakyat Malaysia.

"Geely juga bersedia untuk menyokong program latihan utama untuk rakyat Malaysia di Proton untuk cemerlang dan meningkatkan kebolehan mereka," katanya.

Pada Februari 2020, kerajaan melancarkan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk membangunkan Malaysia sebagai hab automotif serantau untuk kenderaan cekap tenaga (EEV), termasuk EV.

NAP menggariskan strategi dan inisiatif khusus untuk meningkatkan pelaksanaan ekosistem EEV dan EV, memacu pemindahan teknologi dan membangunkan pengetahuan bagi industri automotif tempatan terus berkembang maju.

-- BERNAMA