KUALA LUMPUR: Malaysia kini menuju ke arah pemulihan dari segi angka ekonomi keseluruhan, tetapi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengingatkan mengenai risiko terhadap pemulihan dalam persekitaran prospek ekonomi global yang tidak menentu.

Beliau berkata ini dapat dilihat daripada jumlah angka yang dicatatkan apabila Malaysia mempunyai pertumbuhan suku pertama yang kukuh pada tahun ini dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima peratus.

Katanya negara berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus pada 2022.

"Sementara itu, kadar pengangguran merosot kepada 3.9 peratus pada Mei dan Jun 2022, menunjukkan aliran penurunan selama 14 bulan berturut-turut," katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia XVI 2022 hari ini.

Tengku Zafrul berkata prestasi perdagangan Malaysia turut terus berdaya tahan dan mengekalkan momentum pertumbuhannya berikutan data perdagangan menunjukkan pertumbuhan dua angka selama 16 bulan berturut-turut sejak Februari 2021.

"Selepas pembukaan semula ekonomi yang sistematik, peningkatan yang berterusan untuk permintaan dalaman dan luaran serta penurunan kadar pengangguran, pelabur asing dilihat lebih yakin dengan prospek Malaysia.

"Semua data ini, termasuk kembalinya kesesakan lalu lintas dan kedai makan yang sesak, menunjukkan bahawa angka KDNK suku kedua kita dijangka kukuh, yang akan mengesahkan lagi dasar kami yang telah meletakkan Malaysia di landasan yang tepat ke arah pemulihan," katanya.

Bagaimanapun, katanya Malaysia turut menghadapi risiko dan cabaran terhadap pemulihan seperti inflasi global yang meningkat berikutan harga komoditi terus naik dan rantaian bekalan terganggu akibat konflik Rusia-Ukraine yang berterusan.

"Kadar inflasi kita meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh setahun pada 3.4 peratus pada Jun 2022, dengan inflasi makanan pada Jun sebanyak 6.1 peratus," katanya, sambil menambah kerajaan berjaya mengurangkan impak melalui subsidi dan had harga ke atas beberapa barangan utama.

Tengku Zafrul berkata terdapat kelembapan dalam pertumbuhan di peringkat global berikutan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan di seluruh dunia, terutamanya di Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara utama Eropah, yang telah membawa kepada dasar monetari yang lebih ketat.

Kelembapan ekonomi China, sebahagiannya berikutan dasar sifar COVID-19 dan kesan limpahan daripada perang Rusia-Ukraine turut menambah kepada situasi tidak menentu.

"Tabung Kewangan Antarabangsa telah menurunkan unjuran pertumbuhannya untuk Malaysia kepada 5.1 peratus daripada 5.6 peratus, iaitu di bawah unjuran rasmi kami sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

"Pada masa ini, kami terus optimis bahawa kami akan dapat berpegang kepada unjuran rasmi kami," katanya.

Beliau berkata kenaikan kadar terkumpul oleh Rizab Persekutuan AS sebanyak 225 mata asas secara keseluruhan, setakat ini telah menyebabkan banyak mata wang susut, termasuk ringgit.

"Risiko AS memasuki fasa kemelesetan, teknikal atau tidak, menjadikan prospek global lebih suram," katanya.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa risiko varian dan subvarian baharu COVID-19 tetap ada dan Malaysia, bersama dengan seluruh dunia, perlu bersedia untuk menghadapi pandemik global yang akan datang dan mungkin perlu lebih memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan berbanding pemulihan.

-- BERNAMA