KUALA LUMPUR: Indeks Pelopor (IP) Malaysia mencatatkan trend lebih baik dengan mencapai 110.8 mata pada Februari 2022, berbanding 110.2 mata pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan, IP bulan ke bulan itu meningkat 0.5 peratus pada bulan rujukan berbanding penurunan 1.1 peratus pada Januari 2022 sekali gus menunjukkan ekonomi Malaysia terus berada di landasan pemulihan walaupun momentum pertumbuhan akan perlahan dalam tempoh terdekat.

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, IP bulan ke bulan yang meningkat itu disokong terutama oleh sumbangan ketara daripada import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (0.6 peratus), import benar semikonduktor (0.4 peratus) serta Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.2 peratus).

"IP tahunan menunjukkan prestasi lebih perlahan pada negatif 0.5 peratus pada Februari 2022.

"Ini dipengaruhi oleh sentimen pelabur yang berhati-hati terhadap pasaran saham yang dicerminkan oleh trend menurun Indeks Perusahaan Bursa Malaysia, disebabkan oleh Indeks Penjagaan Kesihatan dan Indeks Utiliti pada bulan tersebut," katanya dalam kenyataan bagi mengulas Penunjuk Ekonomi Malaysia Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan Februari 2022 yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut DOSM, krisis antarabangsa yang sedang berlaku memberikan tekanan lanjut ke atas pertumbuhan ekonomi global melalui perdagangan, inflasi dan pasaran kewangan, seterusnya boleh menganggu prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Sementara itu, berkaitan dengan perspektif ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan dengan berkembang 6.4 peratus kepada 120.4 mata pada Februari 2022 berbanding 113.2 mata pada bulan yang sama 2021.

Berdasarkan prestasi bulanan, IS meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 2.6 peratus pada Februari 2022 berbanding 2.5 peratus pada bulan sebelumnya.

"Pertumbuhan ini dirangsangkan terutama oleh peningkatan dalam kapasiti penggunaan di sektor pembuatan (0.9 peratus) dan indeks kuantiti perdagangan runcit (0.9 peratus).

-- BERNAMA