Perkongsian ekonomi Malaysia-Kemboja perlu diperluaskan lagi supaya ia turut meliputi bidang utama baharu seperti industri halal, kemudahan awam, pembangunan infrastruktur serta jalan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kedua-dua negara juga sewajarnya menjalin kerjasama dalam sektor tenaga boleh diperbaharu dan perkhidmatan bernilai tinggi.

"Malaysia dan Kemboja telah sedia mempunyai hubungan erat dan kedua-duanya perlu terus membangun di atas asas yang kukuh ini di samping mengekalkan momentum itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Misi Pemecutan Eksport (EAM) ke Kemboja, bermula hari ini, melibatkan 35 wakil perniagaan daripada 20 syarikat Malaysia.

EAM tersebut akan menjadi platform perniagaan dari kedua-dua negara untuk bertukar pandangan mengenai keadaan perniagaan semasa dan mengenal pasti bidang utama dalam usaha mengukuhkan kerjasama.

Antara menjadi tumpuan penting semasa EAM itu ialah Seminar Perniagaan Malaysia-Kemboja yang akan dihadiri Mustapa dan rakan sejawat dari Kemboja, Pan Sorasak.

Mustapa dijangka turut menghadiri mesyuarat dua hala dengan beberapa anggota kabinet Kemboja.

EAM merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara ASEAN.