Kerajaan menetapkan tempoh 15 tahun akan datang untuk Malaysia muncul sebagai pasaran terbesar pengeluaran aeroangkasa di Asia Tenggara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata menjelang tahun 2030, Malaysia mensasarkan akan menjadi sebahagian daripada pasaran antarabangsa aeroangkasa dengan menyumbang pendapatan lebih RM55 bilion.

"Industri itu juga bakal menyediakan lebih 32 ribu peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi," katanya kepada Astro AWANI di kementeriannya di sini.

Di kalangan negara-negara serantau, Malaysia kini berada di tempat kedua di belakang Singapura dalam bidang industri aeroangkasa.

Rancangan Malaysia ke 11 telah mengenal pasti industri aeroangkasa sebagai salah satu industri yang berpotensi untuk berkembang.

Perkembangan ini disokong lagi oleh pelan tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia yang dilancarkan pada Mac 2015.

"Ketika ini Malaysia sudah menguasai 21 peratus pasaran Asia Tenggara dalam sub sektor perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, MRO," ujar beliau.

Menurutnya lagi usaha perlu ditingkatkan kepada usaha mempromosi ekosistem kukuh Malaysia sebagai asas pengeluaran seperti syarikat-syarikat Boeing dan Airbus, dan meningkatkan kemahiran.

Beliau memberi contoh kerjasama baru antara Rolls-Royce dan UMW yang dimeterai bulan lalu membuktikan syarikat antarabangsa terus mempercayai keupayaan Malaysia untuk menjadi antara negara aeroangkasa terkemuka dalam pasaran antarabangsa.