KUALA LUMPUR: Manulife Investment Management (Manulife IM) yang berpangkalan di Kanada, percaya Malaysia mampu mengharungi inflasi dengan baik memandangkan ekonomi negara telah bersedia untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding kebanyakan pasaran sedang pesat membangun yang lain.

Ketua Pengurusan Kekayaan dan Aset untuk Asia Michael Dommermuth berkata keadaan makro semasa Malaysia disokong dengan baik antaranya oleh kedudukan akaun semasa yang munasabah serta rizab pertukaran asing.

Beliau seterusnya berpendapat unjuran semasa keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara antara 5.3 peratus dan 6.1 peratus adalah agak konsisten dengan unjuran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

''Kami melihat banyak isu yang berkumpul di ufuk global -- risiko geopolitik, stagflasi, Rizab Persekutuan AS yang menaikkan kadar serta banyak lagi yang sedang berlaku. Tetapi jika anda melihat kedudukan Malaysia dan semua ini, ia sebenarnya terletak dengan baik.

''Pada masa yang sama, sementara seluruh dunia menghadapi tekanan inflasi, inflasi di Malaysia cukup terkawal dan melihat kepada petunjuk harga teras, kami berasa cukup yakin mengenainya," kata beliau kepada Bernama.

Dommermuth menambah Malaysia juga mula melihat pelabur asing kembali melabur dalam pasaran ekuiti domestik selepas empat tahun mencatatkan aliran keluar bersih.

Justeru, beliau berkata inilah sebabnya Malaysia terus menjadi tonggak pertumbuhan bagi Manulife IM dalam rantau ASEAN.

Pada 2021, jualan runcit Malaysia meningkat 58 peratus tahun ke tahun dengan 86 peratus disumbangkan oleh dana asing, manakala aset unit amanah runcit di bawah pengurusan (AUM) (penasihat dan bank) mengembang dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun ( CAGR) sebanyak 19 peratus dari 2014 hingga 2021 berbanding pertumbuhan industri sebanyak 11 peratus dalam tempoh yang sama.

Sebagai pengurus aset runcit lima teratas di Malaysia mengikut pengurusan aset (AUM), Manulife IM berminat untuk mempercepatkan pengagihannya untuk memacu pertumbuhan runcit yang mampan.

Oleh itu, lebih banyak sumber akan ditempatkan di negara ini.

''Dalam setiap pasaran lain, bank-bank menguasai sebahagian besar pengagihan dana bersama. Di Malaysia, ejen dana amanah pelaburan unit yang menguasai.

'Mereka menyumbang hampir dua pertiga daripada AUM manakala bank-bank pula kurang daripada satu pertiga,'' katanya.

Secara keseluruhan di seluruh Asia, Malaysia mempunyai rangkaian penasihat dana bersama terbesar yang mencakupi lebih 2,400 tenaga penasihat yang kuat, menjadikannya pasaran paling matang untuk Manulife IM.

Sehubungan itu, Manulife IM merancang untuk menggandakan tenaga penasihatnya menjelang 2025.

''Strategi pertumbuhan kami meletakkan Malaysia sebagai hab Asia Tenggara untuk teknologi maklumat dan operasi, yang menyokong pasaran serantau lain,'' katanya sambil menambah 60 peratus pelanggan Manulife IM di Asia kini didorongkan secara digital.

Penggunaan digital di Malaysia jauh lebih tinggi daripada pasaran lain iaitu 70 peratus, katanya.

-- BERNAMA