Malaysia, Singapura perkukuh jalinan ekonomi dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Ridauddin Daud
Januari 11, 2024 04:20 MYT
Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Wilayah Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (dua, kanan) dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong (dua, kiri) hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Malaysia dan Singapura menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam usaha mengukuhkan jalinan ekonomi antara kedua-dua negara.
MoU tersebut ditandatangani oleh Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong.
Pemeteraian perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri kedua-dua negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong dalam satu majlis di sebuah hotel di Johor Bahru pada Khamis.
Perjanjian itu hadir kurang dua bulan selepas Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia - Singapura Ke-10 yang diadakan pada Oktober 2023.
Perkembangan terbaharu itu mengkuhkan lagi ikatan dan komitmen kedua-dua negara terutamanya dalam bidang ekonomi.
Menerusi MoU itu, Malaysia dan Singapura akan berusaha untuk memudahkan urusan keluar masuk sempadan untuk kesenangan rakyat, sekali gus menambah baik ekosistem dan kerjasama ekonomi.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk bekerja bersama dalam perjanjian JS-SEZ itu dan juga Pemukiman Pemimpin Malaysia - Singapura Ke-11 kelak.
Hubungan perdagangan Malaysia dan Singapura merekodkan angka positif dengan perdangan dua hala meningkat 18.9 peratus tahun ke tahun kelada AS$153 bilion pada tahun 2022.
Singapura juga merupakan sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) buat Malaysia, menyumbang 20.5 peratus dalam keseluruham FDI Malaysia pada tahun 2022.
#Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura #MoU #Anwar Ibrahim #Lee Hsien Loong #Malaysia #Singapura #Rafizi Ramli