BANGKOK: Malaysia dan Thailand perlu saling bekerjasama membantu sektor swasta memanfaatkan peluang besar yang tersedia dalam e-dagang, kata Pengarah Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (MATRADE) bahagian ASEAN dan Oceania, Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman.

Beliau berkata syarikat digalakkan untuk terlibat dalam lebih banyak perniagaan dalam talian e-dagang rentas sempadan dengan menjual produk dan perkhidmatan mereka di pasaran elektronik yang terkemuka seperti Shopee, Lazada dan JD Central.

"Di MATRADE, kami percaya Malaysia dan Thailand boleh bekerjasama erat untuk menangani isu-isu yang merupakan kepentingan bersama kepada kedua-dua negara dan dalam bahagian kerjasama perdagangan yang lain.

"Ini akan memudahkan pautan perniagaan yang lebih meluas bagi sektor swasta kita terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pertengahan dan perbadanan besar dalam memanfaatkan peluang besar yang ditawarkan e-dagang," katanya pada acara Misi Pemecutan Eksport (EAM) ke Bangkok yang diadakan secara maya, semalam.

Raja Badrulnizam berkata dari Januari hingga Ogos tahun ini, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencatatkan pertumbuhan 24.9 peratus tahun ke tahun kepada RM62.66 bilion, dengan eksport merekodkan RM33.90 bilion dan import RM28.76 bilion.

Antara eksport utama ialah produk elektrik dan elektronik (28.5 peratus), kimia dan produk kimia (12.8 peratus) dan petroleum mentah (8.4 peratus), manakala produk import utama ialah produk elektrik dan elektronik (21.4 peratus), peralatan pengangkutan (13.5 peratus) dan kimia dan produk kimia (11.8 peratus).

Beliau berkata Thailand merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia atau 17.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dengan ASEAN pada 2021, dan destinasi eksport kedua terbesar atau 16.6 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke ASEAN.

"Jumlah perdagangan dua hala dengan Thailand berjumlah RM79.63 bilion yang mana eksport bernilai RM45.33 bilion dan import RM34.30 bilion.

"Saya menggalakkan setiap orang menggunakan platform ini untuk mengenal pasti peluang perniagaan, menjalin perkongsian yang lebih rapat dan terus menyumbang membina kemakmuran ekonomi di negara kita.

"MATRADE akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada kedua-dua Malaysia dan Thailand," katanya.

Sejumlah 10 syarikat Malaysia di bawah MATRADE daripada sektor seperti makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, penjagaan kulit dan penyelesaian perniagaan teknologi maklumat (IT), antara lainnya, menghadiri EAM dengan sasaran untuk meningkatkan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke Thailand.

EAM yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam akan menyediakan platform perangkaian serta membina perkongsian perniagaan antara komuniti perniagaan Malaysia dan Thailand.

Raja Badrulnizam berkata EAM merupakan platform berguna bagi perniagaan dari kedua-dua negara untuk mendapatkan hubungan perniagaan baharu, mengukuhkan perkongsian dan mencapai kolaborasi perniagaan yang berjaya dalam membangunkan hubungan perdagangan lebih erat meskipun cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

"Meskipun pandemik, penyertaan daripada syarikat Malaysia dalam program ini menunjukkan keseriusan dan keyakinan tinggi komuniti perniagaan kita untuk terus meneroka peluang dan potensi dengan syarikat dari Thailand," katanya.

-- BERNAMA