KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan menurun 3.63% kepada 56,213 unit pada April 2022 berbanding 58,329 unit bagi tempoh sama tahun lalu, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Penurunan itu yang terdiri daripada kenderaan penumpang dan komersial disebabkan industri berdepan dengan faktor termasuk kekurangan cip semikonduktor yang digunakan dalam pembuatan automotif.

Jelasnya, kekurangan cip dan komponen (semikonduktor) serta penghantaran yang lewat turut menjejaskan beberapa syarikat.

"Kebanyakan jualan telah dipenuhi oleh syarikat yang mempunyai tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Mac 2022," katanya dalam kenyataan semalam.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, jumlah jualan kenderaan pada April susut 23.23% daripada 73,222 unit pada Mac 2022.

Jualan kenderaan penumpang menurun 6% tahun ke tahun kepada 49,815 unit pada April daripada 52,992 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

Sebaliknya, jualan kenderaan komersial meningkat 19.88% kepada 6,398 unit daripada 5,337 unit.

MAA berkata, jualan kenderaan setakat ini berjumlah 215,965 unit, meningkat 7.96% daripada 200,043 unit yang direkodkan tempoh sama 2021.

Bagi Mei, katanya, jumlah jualan dijangka berada pada paras yang sama seperti dilihat pada April.

"Ini memandangkan kekurangan cip dan komponen, kelewatan penghantaran dan juga Mei sebagai bulan bekerja yang singkat disebabkan cuti perayaan," katanya. - DagangNews.com