KOTA BHARU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewujudkan Mercu Ekonomi Digital (MEDi) sebagai usaha menggalakkan lebih ramai usahawan menceburi bidang berkaitan ekonomi digital dalam skala lebih besar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata inisiatif itu dilakukan bagi membolehkan usahawan terutama golongan muda mengembangkan perniagaan mereka secara digital khususnya memaparkan perkhidmatan dan barangan mereka dengan lebih berkesan serta berdaya saing.

"Fokus MEDi tertumpu kepada usaha memberi penekanan kepada usahawan dengan lebih jauh dalam bidang perniagaan yang berasaskan ekonomi digital dari segi pemasaran produk seperti jenama, bungkusan produk dan sebagainya.

"Jadi, usahawan yang terlibat dapat mengembangkan perniagaan mereka bukan hanya tertumpu kepada latihan semata-mata tetapi ia lebih kepada skala yang lebih besar dan menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar bersama agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan komuniti Keluarga Malaysia Kelantan di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Pengerusi MCMC Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata peruntukan untuk membangunkan MEDi itu dianggarkan berjumlah RM3 juta bagi setiap negeri dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Bagaimanapun, bagi lokasi untuk membangunkan MEDi pula, saya perlu berunding dengan pemimpin negeri untuk memilih kawasan yang sesuai untuk dijadikan premis.

"Malah untuk permulaan, kerajaan akan membuat pelaburan untuk membangunkan MEDi dan menyediakan subsidi 50 peratus bagi kos operasi bagi tiga tahun dan MEDi akan dibangunkan secara bersama dengan pihak swasta serta pihak swasta akan terus mengendalikan MEDi sepenuhnya mulai tahun keempat," katanya.

Beliau berkata pelancaran MEDi akan dilakukan dalam masa terdekat dan apabila premis MEDi dibangunkan kelak, usahawan lain juga boleh menggunakan idea berkenaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

-- BERNAMA