KUALA LUMPUR: MEASAT Global Berhad, pengendali satelit utama di Malaysia berjaya menyempurnakan ujian dalam orbit bagi satelit MEASAT-3d lebih awal berbanding jadual yang ditetapkan.

MEASAT-3d merupakan satelit terbaharu milik syarikat itu telah memasuki perkhidmatan komersial selepas diserahkan secara rasmi oleh Airbus Defence and Space.

MEASAT-3d adalah satelit pelbagai misi dengan jangka hayat terancang selama lebih daripada 18 tahun, membawa muatan jalur-C dan jalur-Ku untuk perkhidmatan video dan Direct-to-Home (DTH).

Selain itu ia juga membawa muatan jalur-Ka jenis High-throughput Multiple Spot Beam yang dioptimumkan bagi menyediakan komunikasi internet jalur lebar berkelajuan tinggi untuk Malaysia, termasuk untuk pengguna di kawasan paling terpencil di negara ini.

Satelit itu turut menyediakan muatan jalur Q/V, yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik, membolehkan MEASAT mengkaji kesan perambatan di kawasan yang sering mengalami hujan lebat seperti di Malaysia, bagi membantu proses reka bentuk satelit generasi seterusnya.

Selain itu, MEASAT-3d turut membawa muatan berinovasi tinggi untuk KTSAT yang akan digunakan untuk Sistem Satelit Augmentasi Korea (KASS) bagi menambah baik ketepatan dan keutuhan isyarat GPS untuk kapal terbang, meningkatkan lagi keselamatan penerbangan pesawat di Korea Selatan.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, pihaknya gembira dengan kejayaan ujian dalam orbit MEASAT-3d dan kemasukannya dalam perkhidmatan komersial selepas dilancarkan pada bulan lepas.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan MEASAT dan Airbus atas usaha gigih dan sokongan padu mereka.

"MEASAT-3d bersedia menyokong sasaran Jalinan Digital Negara (Jendela) oleh Kerajaan Malaysia bagi mencapai 100% liputan internet menjelang 2025, serta rancangan pelanggan kami untuk mengembangkan penawaran perkhidmatan dan menambah baik pengalaman pelanggan mereka," katanya.

MEASAT-3d ditempatkan bersama dengan MEASAT-3a dan MEASAT-3b di slot orbit 91.5° Timur – slot orbit penyiaran video utama MEASAT, bagi membentuk sebuah ruang orbit yang paling berkuasa dan mantap di rantau ini dengan kelewahan dalam orbit dan kapasiti pengembangan yang tiada tandingan. - DagangNews.com