SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menangguhkan sementara permohonan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ini bagi memberi ruang kepada TEKUN untuk memproses permohonan daripada 23,237 pemohon.

Beliau menjelaskan daripada jumlah pemohon itu, kementeriannya menganggarkan nilaian pembiayaan sebanyak RM187 juta.

Sebelum ini, MEDAC telah memperuntukkan kira kira RM200 juta untuk pembiayaan itu.

Kini dengan baki RM13 juta lagi kementeriannya akan menggunakan peruntukan bagi memulihkan usahawan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

“RM13 juta ini kita terpaksa reservekan untuk memberikan keutamaan khusus kepada usahawan yang terlibat dalam banjir kerana yang SPIN ini kita kita buka (untuk mereka) terlibat banjir.

“Tak kena banjir boleh mohon tetapi oleh kerana kita dah kena banjir, ini jadi  RM13 juta ini memang kita reservekan menolong khususnya usahawan yang kena banjir.  Yang mana maksimum ialah RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di Kompleks KPPMS, Seksyen 3 Shah Alam.

Dalam program itu, Noh menyampaikan cek pembiayaan kepada 21 usahawan dan pemberian dalam bentuk pinjaman tanpa faedah itu turut menawarkan moratorium setahun.

Usahawan yang mendapat cek bawah skim ini akan memulakan bayaran tahun depan tanpa dikenakan kadar faedah.

Tambahnya daripada jumlah keseluruhan permohonan, sebanyak 3,986 telah diluluskan dengan nilai pembiayaian RM37 juta.

Beliau juga berpuas hati dengan skim SPIN yang memperuntukkan masa satu minggu untuk meluluskan permohonan.

Usahawan ini diberi pinjaman maksimum RM10,000 tanpa faedah dan moratoriumnya selama satu tahun.

Antara negeri terbanyak membuat permohonan ialah Selangor iaitu sebanyak 3,844 dengan 935 pemohonan sudah diluluskan.