Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini melancarkan buku bertajuk "Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Jawapan Kepada Kebimbangan, Salah Faham dan Tuduhan" di ibu pejabatnya di sini.

Majlis perasmian buku itu disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Buku penjelasan dalam Bahasa Melayu dengan 82 muka surat itu antara lain bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman kepada orang awam mengenai TPPA dan ia akan diedarkan mulai esok.

Penjelasan diberikan termasuk mengapa perlu Malaysia menyertai TPPA sekarang, apa kesannya jika kita memilih tidak menyertai TPPA, manfaatnya iaitu dari pembukaan pasaran baru melalui TPPA, dan kesannya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ia turut diselitkan dengan ringkasan Kajian Kepentingan Negara oleh Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS) dan Kajian Penilaian Impak Ke Atas Ekonomi oleh firma PricewaterhouseCoopers (PwC).

Pada masa sama, buku itu juga menjelaskan kebimbangan sesetegah pihak mengenai persoalan Persoalan Penyelesaian Pertikaian Negara Pelabur (ISDS) dan undang-undang negara, perlembagaan dan mahkamah, ancaman luar dan firma-firma besar serta pengaruh Amerika Syarikat.

Lebih 3,000 buku diedarkan kepada umum buat masa ini dan akan ditambah dari semasa ke semasa.