KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk memulakan penyiasatan duti antilambakan ke atas import produk gulungan sejuk keluli aloi atau bukan aloi dengan kelebaran kurang daripada 1,300mm (pengurangan sejuk) tidak bersalut, tidak bersadur atau tidak bersepuh (dalam bentuk gegelung, kepingan, jalur, gelung atau apa-apa bentuk lain) yang berasal atau dieksport dari Jepun.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), langkah itu diambil selepas ia menerima petisyen daripada pengeluar tempatan, Mycron Steel CRC Sdn Bhd, pada 1 Jan 2023, yang mendakwa import barangan subjek yang berasal atau dieksport dari Jepun telah dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan domestik di pasaran Jepun (harga lambakan).

"Pempetisyen seterusnya mendakwa import dagangan subjek yang dilambakkan dari Jepun telah meningkat dari segi kuantiti mutlak dan telah menyebabkan kecederaan material kepada pempetisyen," katanya dalam kenyataan semalam.

"Selaras dengan Akta dan Peraturan, penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh permulaan penyiasatan.

"Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti antilambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelak kecederaan selanjutnya terhadap industri tempatan," katanya.

MITI akan mengedarkan satu set soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengeluar domestik, pengeksport/pengeluar asing subjek dagangan di Jepun, pengimport dan kerajaan Jepun.

Pihak berkepentingan lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan duti antilambakan ini boleh memohon untuk mendapatkan soal selidik secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada 15 Feb 2023.

"Pihak berkepentingan juga boleh memberikan pandangan secara bertulis, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan kepada MITI selewat-lewatnya 2 Mac 2023," katanya.

-- BERNAMA