KUALA LUMPUR: Prospek persekitaran kredit global tahun ini telah berubah menjadi lebih negatif di tengah-tengah pertumbuhan global yang perlahan, peningkatan kos pinjaman, lonjakan harga tenaga dan komoditi, gangguan rantaian bekalan dan ketidakpastian pasaran kewangan yang kian meningkat, demikian menurut Moody's Investors Service (Moody's).

Dalam satu laporan hari ini, ia berkata lonjakan kos tenaga dan makanan yang didorong oleh pencerobohan Ukraine melemahkan kuasa beli isi rumah, sekali gus meningkatkan kos input untuk syarikat dan melemahkan sentimen pelabur.

"Dalam kalangan penerbit hutang berdaulat, kemampanan hutang akan menjadi sangat mencabar untuk kebanyakan pasaran sederhana membangun kerana kos pinjaman terus meningkat sementara ekonomi mereka masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis pandemik," kata Pengarah Urusan Strategi Kredit Elena H Duggar.

Namun, asas kredit secara amnya kekal sihat untuk penerbit hutang yang dinilai lebih tinggi kerana metrik kredit pulih pada 2021 sementara kecairan/mudah tunai kekal kukuh secara keseluruhan, katanya.

Bagaimanapun, bagi penerbit gred spekulatif dengan aliran tunai bebas yang rendah dan bahagian hutang kadar terapung yang tinggi, risiko kemampuan hutang, kecairan dan pembiayaan semula semakin meningkat.

Beliau menambah bahawa apabila bank pusat mula menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi yang tinggi, keadaan pasaran kewangan turut dilihat semakin ketat merentasi benua.

-- BERNAMA