KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan MSC 2.0 dengan penjenamaan serba baharu dan akan ditambah baik bagi tujuan menangani jurang digital selain meningkatkan tawaran nilai Malaysia dalam menarik lebih banyak pelaburan digital baharu ke seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha itu sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya, keputusan tersebut diambil menerusi mesyuarat keempat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Selama 25 tahun, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi inisiatif MSC Malaysia telah berjaya meningkatkan sumbangan ekonomi digital dari sifar peratus kepada lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2021,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2020, MSC Malaysia telah membantu negara meraih pelaburan berjumlah lebih RM384 bilion dan pendapatan berjumlah RM588 bilion.

Mustapa berkata, Malaysia  telah berkembang menjadi kuasa ekonomi digital global dengan berada pada kedudukan tiga terbaik dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global oleh Kearney sejak 2004 menerusi inisiatif ini.

tokpa

“Oleh itu, usaha mendigitalkan ekonomi rakyat dan merakyatkan ekonomi digital akan diteruskan,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan berpuas hati dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengikut jadual di mana sebanyak 6.427 juta premis mendapat liputan gentian optik.

Purata kelajuan jalur lebar mudah alih ditingkatkan kepada 31.34 Mbps dan liputan 4G meningkat kepada 94.03% di kawasan berpenduduk sehingga suku ketiga 2021.

“Rangkaian 5G di seluruh Malaysia akan dilaksanakan secara agresif bertujuan mencapai sasaran liputan 80% di kawasan berpenduduk menjelang 2024 bagi memastikan negara kembali setanding dengan negara-negara jiran dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi mendorong adaptasi teknologi digital oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), beliau berkata, MyDIGITAL Corporation akan menganjurkan Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 pada 21 hingga 23 Nov 2021.

Katanya, program ini diadakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MDEC, MCMC serta agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan.

“Majlis pelancaran akan dirasmikan di Bera, Pahang oleh Perdana Menteri. Program ini diadakan untuk berkongsi maklumat mengenai pakej rangsangan atau sokongan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak swasta, serta berkongsi pengalaman usahawan yang telah mencapai kejayaan daripadabantuan-bantuan tersebut,” katanya.

Mustapa berkata, mesyuarat tersebut memutuskan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui agensi Cradle Fund Sdn. Bhd. menyelaras dan memantau pelaksanaan Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) 2021-2030 melalui platform MYStartup dalam usaha meletakkan Malaysia pada kedudukan20 teratas dalam ekosistem pemula niaga global menjelang 2030.

Katanya, pencapaian inisiatif MyDIGITAL akan dijadikan sebagai indeks petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menteri-menteri dan ketua jabatan selaras dengan kepentingan ekonomi digital.

-DagangNews.com