KUALA LUMPUR: MY E.G. Services Bhd (MYEG) telah melancarkan inisiatif "Compare by MYEG X NFT Pangolin" untuk mempromosikan penggunaan token tidak sepiawai (NFT) dengan membuka pemilikan NFT kepada semua orang.

Syarikat perkhidmatan digital itu berkata pengguna "Compare by MYEG", merupakan platform dalam talian yang membolehkan pengguna membuat perbandingan serta membeli perkhidmatan pembaharuan insurans dan takaful kereta, kelayakan menerima NFT peringatan percuma (Compare Commemorative NFT) yang boleh disesuaikan untuk ditempa pada rantaian blok Lapisan 1 Zetrix di pasaran global NFT Pangolin.

Pengerusi Eksekutif Datuk Norraesah Mohamad dalam satu kenyataan berkata MYEG komited untuk memupuk penggunaan NFT di kalangan orang ramai.

"Inisiatif Compare by MYEG X BFT Pangolin merupakan peluang bagi memperkenalkan NFT dan faedahnya kepada pangkalan pengguna MYEG.

"Dengan menyediakan NFT yang siap sedia, percuma serta boleh disesuaikan kepada pengguna Compare by MYEG, kami akan memberi mereka pendedahan awal kepada penempaan NFT termasuk menunjukkan bahawa penggunaan NFT adalah agak mudah," katanya.

Tawaran itu bertempoh terhad tanpa sebarang kos tambahan untuk penempaan "Compare Commemorative NFT".

Pengguna mesti terlebih dahulu membandingkan serta memperbaharui insurans kereta dan cukai jalan mereka melalui https://compare.myeg.com.my untuk mendapatkan peluang bagi mengutip "Compare Commemorative NFT" edisi terhad.

Kemudian, pengguna perlu mengikuti langkah mudah yang disediakan untuk menebus dan memperibadikan NFT percuma mereka, kata MYEG.

MYEG berkata medan teks boleh disesuaikan NFT akan membolehkan pengguna menulis mesej yang disesuaikan bagi disampaikan kepada generasi akan datang, seperti Generasi Alpha, apabila aset digital canggih itu menjadi lazim.

Zetrix adalah rantaian blok awam lapisan-1 yang memudahkan kontrak dan bersifat privasi, selamat serta mempunyai skalabiliti rentas sempadan termasuk China.

Sementara itu, NFT Pangolin ialah aplikasi terdesentralisasi pertama yang dikuasakan oleh Zetrix yang membolehkan pengguna menerbit dan berurus niaga NFT pada platform berkenaan.

-- BERNAMA