KUALA LUMPUR: Usahawan di Malaysia perlu melihat lebih jauh dan mula mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara dengan mengkomersialkan produk tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau menggalakkan usahawan tempatan memulakan francais, bermula dari Malaysia dan kemudian berkembang ke seluruh dunia.

Berucap pada perasmian program MyInspirasi for Keluarga Malaysia (MIKM) anjuran International Entrepreneur Network (IEN), beliau berkata banyak produk tempatan mempunyai potensi untuk dikomersialkan di peringkat antarabangsa.

“Kita mempunyai nasi lemak, char kuetiau, roti canai, mi kolok dari Sarawak bahkan latok dari Sabah yang berpotensi besar untuk dikembangkan menjadi francais.

“Apa sahaja produk atau perkhidmatan anda, inilah masanya untuk mendapat faedah daripada platform dan bantuan yang diberikan.

“Seperti bantuan dari IEN untuk anda belajar, melengkapkan diri dengan pengetahuan dan mengatasi semua cabaran, terbang ke luar Malaysia, menakluk dunia dan membuatkan kita, Keluarga Malaysia berbangga,“ katanya.

Program yang dijalankan secara dalam talian itu juga merupakan anjuran bersama Dewan Perdagangan & Industri Asean, Yayasan Wholistic Family Association, Tetuan Esther Ong Tengku Saiful & Sree dan NERV.

Tambah Nanta Linggi, KPDNHEP akan terus memainkan peranan membantu mengembangkan peluang perniagaan dan sosio-ekonomi rakyat Malaysia melalui pelbagai platform dan industri.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan dalam kajian dijalankan kepada 3,855 usahawan di seluruh negara mendapati usahawan kecil terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Ini kerana "produk dan perkhidmatan mereka berada di sektor yang tidak penting, ditambah pula mereka tidak mempunyai simpanan yang cukup dan aliran tunai yang kuat. "

“Ini perkara yang membimbangkan kerana perniagaan melibatkan usahawan kecil merupakan yang terbanyak di Malaysia.

“Justeru, hampir tidak dapat dibayangkan kesukaran yang harus ditanggung pemilik perniagaan ini semasa tempoh sukar seperti sekarang,” ujarnya.