IPOH: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan bernilai RM2.34 bilion ke Perak setakat ini, yang bakal menyediakan 4,400 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Terbaharu, lima buah syarikat menyatakan komitmen untuk membuat pelaburan bernilai RM2 bilion yang menawarkan 3,885 peluang pekerjaan.

Lima syarikat itu ialah Eco Medi Glove Sdn. Bhd. dengan nilai pelaburan RM300 juta di Taiping, diikuti Onetexx Sdn. Bhd. (RM373.9 juta) juga di Taiping, Dyna Care Sdn. Bhd. (RM1.19 bilion) di Lumut Port Industrial Park, HICOM-Teck See Sdn. Bhd. (RM208 juta) di Tanjung Malim dan PNA Technologies Sdn. Bhd. (RM1.7 juta) di Kampung Gajah.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan perkara itu sewaktu menyaksikan majlis komitmen pelaburan itu bersama NCIA yang diadakan secara maya hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehhuddin Alyubi Zakaria, dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Terdahulu, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Perak, Saarani berkata, bagi mempercepatkan proses pemulihan susulan pandemik COVID-19, kerajaan negeri akan terus memfokuskan usaha menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi untuk menjana ekonomi, termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Menurutnya, kerajaan negeri menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terutama dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), pendigitalisasi dan penerimagunaan teknologi baharu selaras dengan Pelan Pembangunan Perak 2040.

“Perak perlu memberi tumpuan kepada pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk getah, terutamanya sarung tangan.

“Ini memandangkan Perak mempunyai kelebihan dalam industri-industri ini berbanding negeri lain. Promosi berkaitan pelaburan ke negeri Perak perlu diperluaskan agar negeri ini menjadi destinasi tumpuan pelabur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis komitmen pelaburan itu, di sini.

Sementara itu, Jebasingan Issace John berkata, NCIA telah mengumumkan penambahbaikan kepada program insentif merangkumi NCER Tax Incentives (NTax@NCER), NCER Talent Enhancement Program (NTEP) dan Dana Usahawan (DU@NCER) dalam usaha menyokong komuniti perniagaan di negeri Perak menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

Menurutnya, melalui program DU@NCER, NCIA telah menyediakan geran pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di Perak bagi mengatasi implikasi ekonomi terkesan oleh pandemik COVID-19.

Katanya, sehingga kini, program DU@NCER telah menyokong pembangunan 13 usahawan PKS tempatan dengan jumlah pelaburan baharu RM135 juta dan mewujudkan 520 peluang pekerjaan baharu.

“Bagi memastikan negeri Perak kekal stabil dalam pertumbuhan sosioekonomi, NCIA akan terus komited dalam melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik, dan berpaksikan rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat,” ujarnya.