KUALA LUMPUR: Jenama kosmetik terkemuka, Simplysiti kini melancarkan produk terbaharunya, New Simplysiti Comestics yang diformulasikan sesuai dengan semua warna kulit wanita Asia.

Presiden Simplysiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkata, selain daripada cushion foundation dan liquid foundation, Simplysiti turut menampilkan gincu bibir matte, semi matte dan moist bersama 15 pilihan varian warna-warna menarik menerusi rangkaian Simplysiti For All.


Terbaharu SimplySiti | Formulasi bagi semua wanita-wanita Asia

“Simplysiti cushion foundation mendapat permintaan tinggi dipasaran dan untuk ‘wajah’ baharu kali ini, kita perhebatkan lagi daripada segi bahan diformulasikan. Ia mempunyai manfaat terhadap kesihatan kulit dan memberi hasil matte look.

“Daripada segi pembungkusan, kami memilih kod warna nude agar kelihatan lebih eksklusif dan tampak ‘antarabangsa’,” katanya secara eksklusif kepada Astro AWANI ketika ditemui pada majlis pelancaran New Simplysiti Cosmetics pada Rabu.

Selain cushion foundation, Simplysiti turut mengetengahkan liquid foundation yang membantu menutup cela-cela pada wajah dan mampu merawat kulit serta memberi kelembapan menerusi formulasi SPF25.

Set pembungkusan baharu Simplysiti memberi sentuhan eksklusiviti dan tampak lebih 'antarabangsa'.

Menurut Siti, jenama tersebut tidak hanya mengeluarkan produk kosmetik, namun turut memberi fokus kepada penghasilan rangkaian penjagaan kulit.

“Baru-baru ini kami melancarkan Simplysiti Rosehip, yang diformulasikan dan diperkayakan dengan ekstrak rose hip yang dapat memperbaiki kulit. Sambutan terhadapnya juga sangat menggalakkan.

“Selepas koleksi penjagaan kulit Simplysiti Rosehip, kami menyasarkan untuk memperkenalkan produk terbaharu khusus bagi pengguna lelaki… ia jangka dilancarkan pada akhir tahun ini,” ujarnya yang turut memaklumkan terdapat produk baharu bakal diperkenalkan sempena perayaan Krismas tidak lama lagi.

Dalam pada itu, menerusi pencarian wajah Simplysiti, Zahra Zura Aziza Zahanor dilantik sebagai duta baharu jenama Simplysiti.

“Saya sangat teruja setelah dilantik menjadi duta jenama bagi Simplysiti yang sudah berada dalam pasaran kosmetik di Malaysia sejak 11 tahun lalu.

“Sebagai wajah Simplysiti, saya turut berperanan menarik minat golongan-golongan muda untuk menjadi usahawan ataupun agen produk Simplysiti dengan menyertai program Gaji Pertama Bersama Zahra yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sama.

Rangkaian kosmetik Simplysiti kini boleh didapati di pusat kesihatan dan peruncit kecantikan Watson, platform digital Shopee, laman sesawang www.simplysiti.com.my dan ahli-ahli Simplysiti Elit berdaftar.