KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat lebih tinggi berbanding dolar AS apabila dibuka untuk urus niaga pagi ini di tengah-tengah kenaikan ketara untuk Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat sebanyak 50 mata asas.

Pada jam 9.04 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.3360/3400 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat 4.3520/3570.

Urus niaga pasaran mata wang tidak beroperasi selama tiga hari mulai Isnin sempena cuti umum sambutan Aidilfitri.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) memberi laluan untuk pasaran mata wang kerana ia telah menyelaraskannya selain dapat menormalkan kadar penanda aras serta mengurangkan saiz lembaran kira-kiranya.

"Bagi ringgit, kami percaya ia dijangka meningkat sekitar RM4.33 hingga RM4.34 kerana mata wang itu telah terlebih jual dengan ketara berbanding dolar AS. Jadi, kami berpendapat ringgit bersedia untuk bergerak lebih tinggi hari ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1551/1582 daripada penutup Jumaat 3.1543/1584 dan meningkat berbanding pound Britain menjadi 5.4677/4727 daripada 5.4652/4715.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3579/3612 daripada 3.3392/3433 dan tidak berubah berbanding euro pada 4.6018/6060 daripada 4.6018/6071.

-- BERNAMA