GUA MUSANG: Kerajaan perlu mengatasi krisis ringgit dengan menumpukan kepada pembaikan pasaran tukaran mata wang asing bagi menyelamatkan ekonomi negara daripada terus merosot sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah memberi cadangan itu supaya nilai ringgit tidak terus jatuh, bahkan dapat dipertingkatkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Bekas Menteri Kewangan itu, yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, nilai ringgit dijangka terus merosot dalam masa terdekat.

"Kalau kita tak ambil tindakan segera, kita akan berhadapan dengan masalah. Bukan masalah ekonomi sahaja, masalah sosial dan mungkin akan jadi huru-hara dan sebagainya.

"Ia termasuk demonstrasi, terutama sekali oleh orang yang tidak berada. Dan, kemungkinan ringgit kita akan merosot daripada sekarang.

"Sekarang pun, dua hari lepas, harga ringgit dah turun kepada RM4.40 berbanding AS$1. Dan ini akan menjadi lebih teruk.

"Dikatakan, akhir tahun ini ramalannya ringgit kita akan jatuh kepada RM5.50 bagi AS$1. Kalau ini berlaku, sudah tentu susah kita hendak beli barang-barang yang terpaksa diimport," katanya.

Tengku Razaleigh berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 2, di sini, hari ini.

BACA: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS 

BACA: Ringgit cecah RM4.40 berbanding dolar AS ekoran bimbang kemelesetan ekonomi

Menurut Ku Li, rakyat kini terbeban dengan masalah harga barangan asas dan makanan yang tinggi dan perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhati-hati.

Sebelum ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan menyelaraskan usaha untuk menangani krisis makanan.

Tindakan itu perlu berikutan situasi kekurangan makanan dan peningkatan harga yang mendadak akibat konflik Rusia-Ukraine.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva berkata, konflik berkenaan telah mencetuskan krisis di seluruh dunia yang menyaksikan banyak negara menghadapi kekurangan makanan dan kenaikan harga makanan, baja dan sumber tenaga.