KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan normal secara beransur-ansur kepada 2.25 peratus pada akhir tahun sejajar dengan kadar pemulihan ekonomi, kerana risiko inflasi sekunder kekal terhad pada masa ini.

Agensi penarafan itu berkata walaupun inflasi semakin meluas, tahap kenaikan harga pada masa ini adalah kurang teruk berbanding yang dilihat dalam episod kenaikan inflasi sebelum ini.

"Pada masa yang sama, kesan kenaikan harga pusingan kedua atau kenaikan gaji mewujudkan kenaikan harga tidak serta-merta jelas kerana keadaan pasaran buruh masih belum pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Namun begitu, RAM Ratings berkata kenaikan harga makanan adalah membimbangkan kerana sekurang-kurangnya 20 peratus daripada perbelanjaan kebanyakan isi rumah Malaysia disalurkan ke arah makanan. Tambahan pula, kesan kenaikan kos keperluan yang tidak seimbang dirasai oleh segmen ekonomi yang lebih terpinggir.

Ia berkata kos fiskal untuk menguruskan subsidi dan mengurangkan tekanan harga adalah besar dan hasil berkaitan minyak dan gas yang lebih tinggi tidak akan mencukupi untuk mengimbangi sepenuhnya tekanan fiskal, sekali gus memerlukan penjajaran semula atau menggabungkan pelbagai item perbelanjaan mengurus.

"Ini mungkin mempunyai implikasi untuk beberapa program sokongan yang diterajui kerajaan Persekutuan," kata RAM Ratings.

Ia berkata, inflasi dijangka meningkat pada 2022 kerana kesan gangguan rantaian bekalan global yang berterusan menjejaskan harga pengguna di Malaysia.

"Sifat inflasi yang melonjakkan kos mengehadkan keberkesanan dasar monetari konvensional manakala pelbagai usaha kawalan harga oleh kerajaan akan menyebabkan kos fiskal yang terlalu tinggi," tambahnya.

Sementara itu, harga komoditi mentah dan produk yang berkaitannya telah meningkat dengan ketara.

Memandangkan sifat tekanan harga semasa, RAM Ratings berkata, normalisasi jangka pendek keadaan inflasi adalah tidak dijangka.

"Dasar bahagian penawaran domestik - seperti menambah baik logistik domestik dan keupayaan pengeluaran, perjanjian perdagangan yang menggalakkan dengan pembekal komoditi utama, dan memperkemas pentadbiran yang menyusahkan - akan menjadi kunci dalam menguruskan tekanan inflasi pada tahun ini dan tahun depan," tambahnya.

-- BERNAMA