KUALA LUMPUR: Tumpuan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam penetapan dasar monetari masa kini adalah bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal mampan, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research).

Ini boleh dilihat menerusi keputusan mesyuarat kedua 2023 Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis apabila BNM bertindak mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus yang seiring dengan jangkaan pasaran.

Malah, MIDF Research berpendapat bank pusat itu lebih terarah kepada pendekatan 'tunggu dan lihat' bagi menilai prestasi pasaran selepas melaksanakan kenaikan sebanyak 100 mata asas (bps) tahun lepas kepada 2.75 peratus daripada paras terendah dalam sejarah iaitu 1.75 peratus sejak 7 Julai, 2020.

"Namun, kami yakin kemungkinan normalisasi dasar monetari seterusnya masih ada berikutan data ekonomi domestik yang terus memaparkan momentum positif.

"Dalam aliran kenaikan inflasi teras serta permintaan domestik yang kukuh daripada jangkaan, kami juga mengunjurkan BNM akan mengembalikan paras itu ke tahap pra-pandemik iaitu 3.00 peratus dalam separuh pertama 2023," katanya dalam nota tinjauannya pada Khamis.

MIDF Research juga menjangkakan BNM akan menormalkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3.00 peratus tahun ini selepas dikurangkan kepada 2.00 peratus sejak Mac 2020.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tertakluk kepada elemen seperti kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga serta keadaan makroekonomi, terutama pemulihan berterusan dalam pasaran tenaga kerja dan peningkatan permintaan domestik.

"Dari sudut pandang jangka sederhana, normalisasi dasar itu perlu bagi mengelak risiko yang boleh menjejaskan prospek ekonomi di masa depan seperti kenaikan inflasi yang ketara serta peningkatan hutang isi rumah," katanya.

Mengulas prestasi ringgit, MIDF Research mengunjurkan unit tempatan itu akan mengukuh purata RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan seterusnya mengakhiri 2023 pada RM4.00 biarpun pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka menaikkan lagi kadar faedahnya pada tahun ini.

"Jika dilihat secara asasnya, ringgit berada dalam kedudukan baik ketika ekonomi domestik kekal dalam momentum meningkat. Ini berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih petroleum mentah, gas asli cecair dan minyak sawit yang meraih manfaat daripada peningkat harga komoditi di peringkat global.

"Pada masa sama, pembentangan semula Belanjawan 2023 juga memaparkan hala tuju fiskal negara ini yang lebih jelas, khususnya di bawah pentadbiran kerajaan baharu," katanya.

-- BERNAMA