KUALA LUMPUR : Kadar Dasar Semalaman (OPR) masih rendah berbanding sebelum pandemik COVID-19 melanda pada 2020, menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“OPR masih kekal akomodatif. Ia meningkat, namun masih rendah berbanding sebelum pandemik,” katanya pada sidang media di Persidangan Perbankan Malaysia di ibu negara.

Pada 8 September, Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Tengku Zafrul pada masa sama menegaskan kadar inflasi negara berada pada 2.8 peratus untuk tujuh bulan pertama tahun ini, jauh lebih rendah berbanding negara serantau lain.

Beliau menjelaskan, kenaikan harga barang sememangnya berlaku apabila ekonomi mengembang dipacu oleh permintaan yang meningkat.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata, cadangan supaya moratorium pinjaman diberikan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bergantung kepada pihak bank.

Malah beliau menegaskan moratorium menyeluruh seperti dilaksanakan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tidak lagi relevan dilaksanakan kini.

“Kerajaan bukan pemilik bank namun kami boleh mengalakkan dasar yang membantu (orang ramai),” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin berkata cadangan supaya moratorium khas akan dibincangkan Bersama Tengku Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Cadangan moratorium khas itu disuarakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.