Pakaian dalam wanita curi tumpuan pengunjung CAEXPO ke-15

Nursyazwani Saiful Sham
September 15, 2018 12:02 MYT
Produk pakaian dalam wanita turut mencuri tumpuan pengunjung. -Foto Astro AWANI/ Siti Nursyazwani
Bukan hanya produk berasaskan durian, sarang burung atau kopi yang terus menerima permintaan oleh pengunjung yang datang di Pavilion Malaysia pada Ekspo China Asean ke-15 (CAEXPO).
Percaya atau tidak, produk pakaian dalam wanita turut mencuri tumpuan pengunjung yang datang terutamanya selepas 13 kali syarikat Double Wonder Sdn Bhd mengikuti ekspo ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joseph Kc See, produk mereka yang menerapkan aspek baik untuk kesihatan payudara adalah antara faktor pakaian dalam wanita mereka terus hangat diperkatakan.
“Syarikat kami ada masa depan yang cerah kerana produk kami lain daripada China dan produk kami telah mendapat kerjasama dengan ‘go green’ Malaysia.
“Kami juga sudah menceburi bidang pasaran ini beberapa kali dan pelanggan kami di China pasti akan membeli untuk bekalan sehingga tahun depan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Nanning International Convention and Exhibition Centre, Wilayah Guanxi, pada Sabtu.
Apa yang menarik, Pavilion Malaysia kali ini menampilkan pempamer daripada industri gaya hidup.
Justeru, peluang buat syarikat KW JWEE Sdn Bhd yang menghasilkan percetakan lukisan di atas fabrik yang juga merupakan kalis bunyi untuk teroka pasaran China terus meluas.
Menurut Pengarahnya, Norman Lim, produk mereka turut mengetengahkan pelukis tempatan.
“Produk kami sudah mula memasuki pasaran Singapura jadi kami ingin mengembangkannya di pasaran China juga dalam pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, lukisan warisan tempatan, batik juga antara yang berjaya menarik perhatian pelabur dan pengunjung dari China.
Lukisan unik itu dipromosikan dan dipasarkan melalui minyak wangian yang turut mencerminkan warisan tempatan seperti wangian bunga di Malaysia oleh syarikat IL Fragrance.
Menurut pengarahnya, Tan Han Tiong, pengunjung dari China sangat kagum dengan batik kerana mereka sebenarnya tidak mengetahui apa itu batik.
“Jadi kami memberi penjelasan kepada mereka melalui botol wangian. Botol wangian kami juga unik apabila memancarkan dalam bentuk 3D di bawah matahari. Setakat ini, kami telah menerima respon yang memuaskan,” katanya.
Apa yang pasti, produk tempatan terus hangat diperkatakan oleh pengunjung China yang ternyata kagum dengan kebolehpasaran Malaysia apabila terbukti mencapai sasaran jualan.
#ASEAN #batik #CAEXPO #China #Double Wonder Sdn Bhd #IL Fragrance #KW JWEE Sdn Bhd #Matrade #Pavilion Malaysia