KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal merah pada sesi tengah hari berikutan selera risiko yang lemah di tengah-tengah senario Parlimen yang tergantung terus mempengaruhi permintaan.

Pada waktu rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 7.02 mata atau 0.48 peratus, kepada 1,442.3 berbanding 1,449.32 pada penutup Khamis.

FBM KLCI berada pada 1,434.55 pada pembukaan 9 pagi.

Sementara itu menurut , Pengarah Negara, Stashway, Wong Wai Ken, para pelabur dan keadaan pasaran kini berada dalam corak tunggu dan lihat sehingga jam 2 petang esok, Selasa (22 November) untuk semua pemimpin parti berkumpul, mengisytiharkan pakatan mereka, dan bagi mana-mana pihak yang mempunyai cukup kerusi di Parlimen untuk menamakan Perdana Menteri pilihan.

“Terdapat banyak ketidakpastian dan persoalan hangat sekarang ini seperti siapa akan menjadi ketua, siapa Menteri Kewangan, bagaimana Kabinet yang akan dibentuk dan apakah dasar prospek ekonomi selepas ini?" kata Wong Wai Ken.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Muhammad Azmi Zulkifli berkata, beberapa polisi dan prosedur berkaitan perniagaan dan pelaburan terus kekal stabil di sebalik ketidaktentuan politik, menjadikan keyakinan pelabur masih wujud.

“Namun kita perlu tetap pastikan bahawa kita terus memacu pemesejan yang betul serta melihat bagaimana kita boleh terus menarik pelaburan yang betul sebagai jalan ke hadapan," kata Azmi.

“Di seluruh negara kita boleh melihat tumpahan daripada penciptaan ekonomi pekerjaan yang sesuai serta melihat perdagangan dan bagaimana kita bergerak ke hadapan apabila kita bandingkan antara bilangan dan pembolehubah," kata Azmi.

Nilai ringgit juga menyusut berbanding dolar AS kepada 4.5780/5880 pada sesi pembukaan dagangan, berikutan ketidaktentuan politik selepas PRU15 yang mana tiada satu parti politik memperoleh jumlah kerusi parlimen mencukup untuk membentuk kerajaan.