KUALA LUMPUR: Pasaran membabitkan populasi 600 juta orang di negara-negara ASEAN boleh menjadi sumber kekayaan baharu untuk Malaysia dalam sektor kenderaan elektrik (EV).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Ahmad Sabirin Arshad, berkata ini kerana Malaysia mempunyai ekosistem pengeluaran, pelupusan dan rangkaian perkhidmatan yang hampir sempurna.

“Di peringkat SIRIM kita mempunyai ekosistem yang penuh, dari segi pembangunan, standard, pelupusan dan rangkaian yang lengkap. Di ASEAN boleh dikatakan semua negara berlumba-lumba untuk menarik pelabur.

“Malaysia tidak ketinggalan jauh. Kita merupakan negara ketiga tertinggi dari segi penggunaan kereta EV. Di sini saya lihat, jika kita ada satu lagi ekosistem pengujian bateri, ia akan melengkapi ekosistem ini dan Malaysia menjadi satu-satunya negara di ASEAN yang mempunyai ekosistem yang lengkap,” katanya dalam program Agenda AWANI.


Ahmad Sabirin menjelaskan pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah bersetuju secara prinsip untuk memastikan SIRIM mempunyai keupayaan untuk pengujian bateri kenderaan EV.

Setakat ini SIRIM hanya melaksanakan pengujian bateri secara kecil-kecilan. Tetapi untuk masa hadapan, pihaknya menyasarkan untuk memberi perkhidmatan dengan kapasiti lebih besar kepada syarikat pengeluar kenderaan dalam negara seperi Perodua dan Geely yang bakal mempunyai model EV tersendiri.

“Dengan adanya keupayaan pengeluaran seperti ini, kita bukan hanya sekadar memberi perkhidmatan di Malaysia. Kita akan menjadi hab EV untuk seluruh ASEAN. Saya nampak 600 juta penduduk, ini pasaran dan sumber kekayaan baharu untuk Malaysia. Tidak patut untuk kita tinggalkan begitu sahaja,” katanya lagi.