KUALA LUMPUR: Kumpulan teknologi hartanah global Juwai IQI percaya pasaran hartanah akan kekal teguh dengan peningkatan harga yang sederhana dan permintaan terus berkembang walaupun di sebalik kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Kashif Ansari dalam kenyataan pada Isnin berkata petunjuk pasaran perumahan adalah positif sejak tiga suku yang lepas dengan pertambahan jumlah urus niaga dan lambakan hartanah yang berkurangan.

"Kami yakin bahawa trend positif ini akan berterusan pada suku kedua. Walaupun kadar yang lebih tinggi akan menjadikan pembelian dan pembangunan rumah lebih mahal, kami percaya pasaran hartanah boleh menyerap kenaikan ini.

Bagi pembeli, gadai janji yang lebih tinggi diimbangi oleh situasi kewangan isi rumah yang semakin baik dalam kalangan banyak keluarga.

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) menjejaskan pembeli rumah tipikal, bergantung kepada keadaan mereka.

Menurut kenyataan itu, bagi gadai janji RM500,000 pada 3.5 peratus dan baki tempoh selama 20 tahun, peningkatan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus akan menyebabkan tambahan sebanyak RM124 sebulan.

Kenaikan OPR akan meningkatkan kos peminjaman kepada pemaju.

"Kita akan dapat menyaksikan kesederhanaan dari segi jumlah projek yang dirancang dan mereka yang memulakan pembinaan dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Pada 2022, pembinaan bermula pada 98,000 unit kediaman bertanah dan bertingkat tinggi. Menjelang akhir tahun ini, hanya lebih 89,000 unit sedang dalam perancangan untuk pembinaan pada masa akan datang," kata Kashif.

Beliau juga berkata BNM berazam untuk mengekang inflasi dan meredakan ekonomi kepada pemulihan bertahap, mengimbangi pertumbuhan dan inflasi.

"Prospek pertumbuhan adalah berdaya tahan walaupun dengan peningkatan kadar yang terkini, dan pertumbuhan ini akan menyokong pasaran perumahan," katanya.

Pada 5 Mei 2023, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 bps kepada 3.00 peratus.

Keperluan untuk meningkatkan lagi kadar itu menekankan kekuatan asas ekonomi Malaysia pada 2023.

"Lebih baik mempunyai ekonomi yang kukuh dan keperluan untuk menaikkan kadar bagi menghindarkan kemeruapan berbanding mempunyai ekonomi yang tidak memberangsangkan dan memerlukan rangsangan dasar," kata Kashif.

-- BERNAMA