KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd berkata Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) dan empat syarikat konsesi lebuh raya telah bersetuju untuk melanjutkan Tarikh Pelaksanaan Perjanjian Definitif dari 31 Julai, 2022 kepada 30 Ogos, 2022.

"Walaupun tarikh akhir untuk pelaksanaan itu dilanjutkan, lembaga pengarah berhasrat untuk melaksanakan Perjanjian Definitif pada atau sebelum 5 Ogos 2022," kata Gamuda dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Pada 18 April, Gamuda berkata setiap syarikat pemegang konsesi -- Kesas Holdings Bhd, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (SPRINT Holdings), Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (LITRAK Holdings) dan Projek Smart Holdings Sdn Bhd (SMART Holdings), masing-masing telah menerima secara berasingan surat tawaran bersyarat untuk cadangan pelupusan semua sekuriti kepada ALR.

ALR telah menawarkan untuk memperoleh 70 peratus kepentingan dalam KESAS Sdn Bhd; 51.6 peratus kepentingan dalam SPRINT; 43.2 peratus kepentingan dalam LITRAK; dan 50 peratus kepentingan dalam SMART. Bahagian Gamuda dalam jangkaan nilai ekuiti untuk empat syarikat tersebut berjumlah RM2.33 bilion.

Bulan lalu, Gamuda berkata ALR dan setiap syarikat konsesi lebuh raya telah memuktamadkan terma dan syarat draf perjanjian jual beli saham.

Ia berkata keputusan mengenai cadangan pelupusan LITRAK dan SPRINT akan bergantung sepenuhnya kepada undian pemegang saham tidak berkepentingan yang hadir pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) LITRAK Holdings, syarikat bersekutu 42.8 peratus, selain Gamuda.

LITRAK Holdings memiliki 100 peratus kepentingan ekuiti dalam LITRAK dan 50 peratus kepentingan dalam SPRINT.

-- BERNAMA