PONTIAN: Pelantikan jawatan pengerusi Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu dilakukan secara teliti dan tidak terburu-buru.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata setakat ini, pengoperasian GLC tidak terganggu memandangkan ianya masih lagi diselia oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) masing-masing.

Katanya, peletakan jawatan itu hanya melibatkan individu yang berlatarbelakangkan politik

Manakala kakitangan GLC yang lain masih bekerja dan melangsungkan tugas masing-masing.

"Ini tidak menjejaskan operasi syarikat-syarikat Menteri Kewangan diperbadankan dan agensi sebagaimana saya sebutkan kakitangannya ada, pengurusan tertingginya ada. Mereka tidak meletak jawatan. Peletakan jawatan itu hanya melibatkan mereka yang berlatar belakang politik samada pengarah atau pengerusi itu sahaja. Yang lain-lain, kerja dijalankan oleh pengurusan tertinggi syarikat dan agensi berkaitan," kata Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, di Taman Sri Api-Api, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelantikan pengerusi GLC wajar dibuat dalam tempoh yang tidak terlalu lama. Tempoh dua bulan menjadi jangka masa yang munasabah untuk menyelesaikan urusan pelantikan itu.

Terdahulu pada 15 Disember, jemaah menteri telah memutuskan pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan dengan serta-merta.

Penamatan itu membabitkan jawatan bagi Badan Berkanun Persekutuan, syarikat Menteri Kewangan (diperbadankan), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).