KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Top Glove Corp Bhd susut kepada RM15.29 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mei, 2022 berbanding RM2.04 bilion pada tahun sebelumnya berikutan perolehan yang lebih rendah disebabkan kesan normalisasi permintaan dan purata harga jualan (ASP) yang menjejaskan industri.

Perolehan bagi suku tersebut merosot kepada RM1.46 bilion berbanding RM4.16 bilion tahun ke tahun.

"Ini berbeza berbanding prestasi kukuh yang luar biasa pada suku terdahulu bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2021 apabila pandemik mencapai kemuncaknya, ketika permintaan dan ASP meningkat pada setiap masa dan kos operasi yang lebih rendah," menurut Top Glove dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pada suku ketiga, harga purata lateks pekat getah asli meningkat 17 peratus suku ke suku kepada RM6.50 sekilogram, manakala harga purata lateks nitril ialah AS$1.11 sekilogram, 3.0 lebih rendah berbanding suku kedua.

Pengarah Urusan Top Glove Datuk Lee Kim Meow dalam kenyataan berasingan menyifatkan tempoh ini sebagai sangat mencabar bagi industri sarung tangan.

Malah, beliau berkata keputusan suku tersebut tidak mencerminkan prestasi biasa bagi perniagaan kumpulan, disebabkan oleh trend normalisasi yang berterusan dan ketidakseimbangan bekalan permintaan.

"Bagaimanapun, kami akan terus memberi penekanan kepada asas kami; menghasilkan produk berkualiti dengan kos cekap yang tetap menjadi keutamaan, ketika tempoh yang lebih baik, mahupun dalam waktu sukar," katanya.

Dalam tempoh sembilan bulan, pengeluar sarung tangan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM288.56 juta berbanding RM7.26 bilion tahun ke tahun, manakala perolehan berjumlah RM4.50 bilion berbanding RM14.29 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut Top Glove, prestasi yang lebih rendah itu berlaku di tengah-tengah pertembungan cabaran, dengan kos pengeluaran yang semakin meningkat akibat inflasi global dan konflik Rusia-Ukraine yang mendorong kenaikan harga minyak mentah.

Selain itu, kumpulan turut berdepan peningkatan tarif gas asli dan elektrik, serta pelaksanaan gaji minimum yang dikuatkuasakan pada 1 Mei, 2022 yang menyebabkan berlakunya mampatan margin berikutan kumpulan tidak dapat memindahkan kos sepenuhnya dalam keadaan bekalan berlebihan yang sedang berlaku.

Berikutan permintaan yang sederhana, Top Glove berkata ia telah menangguhkan dan mengurangkan perbelanjaan modal utamanya dalam masa terdekat di samping terus menyelaraskan rancangan pengembangannya dengan keadaan pasaran.

Bagaimanapun, ASP sedang mencatatkan kemerosotan pada kadar lebih perlahan yang dapat membantu mengurangkan kesan kos pada masa akan datang.

Sementara itu, Top Glove berkata jualan dari Malaysia ke Amerika Syarikat terus mencatatkan peningkatan pada suku ketiga, menokok 8.0 peratus berbanding suku terdahulu dan lebih berpotensi bagi pertumbuhan selanjutnya yang membawa petanda baik kepada kumpulan.

Melangkah ke hadapan, Top Glove menjangkakan persekitaran perniagaan yang mencabar akan berterusan dalam masa terdekat, namun, ia menegaskan bahawa keadaan itu adalah sementara.

Lee berkata kumpulan yakin permintaan akan terus menokok dengan penggunaan yang meningkat daripada negara pesat membangun dengan asas penggunaan sarung tangan yang agak rendah, di samping tahap kesedaran mengenai kebersihan dan kesihatan yang lebih tinggi dalam era pasca pandemik.

-- BERNAMA