KUALA LUMPUR: Malacca Securities menjangkakan cadangan Malaysia Smelting Corporation Berhad mengambil alih keseluruhan pegangan ekuiti di dalam Asas Baiduri Sdn. Bhd. melalui anak syarikatnya Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. akan mengkuhkan kedudukannya sebagai pegeluar bijih timah terbesar dunia.

Firma itu berkata, menerusi cadangan itu, Rahman Hydraulic boleh membina tempat penyimpanan batuan sisa di atas tanah milik Asas Baiduri selain meluaskan kawasan pelombongan sedia ada di Hulu Perak bagi membolehkan kumpulan itu melombong bijih timah tambahan di dalam tanah sendiri.

Katanya, secara asasnya Asas Baiduri terlibat dalam aktiviti berkaitan pelombongan dan mereka diberikan tanah pajakan untuk aktiviti tersebut di atas tanah seluas 568.4 hektar untuk tempoh 21 tahun bermula 8 Jun 2012 hingga 7 Jun 2033.

"Selepas pengambilalihan itu siap sepenuhnya pada 3QFY22, Rahman Hydraulic akan meluaskan kawasan melombong mereka ke tanah Asas Baiduri yang dijangka memberikan sumber bijih timah tambahan sebanyak 2,690 tan.

"Langkah itu juga akan meningkatkan sumbangan kasar bijih timah Rahman Hydraulic kepada 3,428 tan bagi aktiviti peleburan bijih timah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma itu berkata, walaupun harga bijih timah menunjukkan penurunan sejak beberapa bulan lalu, namun harganya masih berada di atas paras pra pandemik kesan daripada permintaan yang tinggi daripada segmen kenderaan elektrik (EV), panel solar dan peranti elektronik.

Harganya kekal stabil akibat gangguan rantaian bekalan dan kesesakan di pelabuhan selain tekanan inflasi daripada kenaikan harga komoditi akibat konflik Rusia-Ukraine.

"Kami mengekalkan unjuran purata harga bijih timah kami sebanyak AS$30,000 (RM131,924) satu tan pada masa hadapan," katanya.

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk Malaysia Smelting Corporation dengan harga sasaran lebih RM4.83 berbanding RM5.36.

Bagaimanapun, keadaan itu akan dipengaruhi oleh harga bijih timah tidak stabil yang akan menjejaskan margin keuntungan selain risiko tukaran awang asing kerana kumpulan itu membli bahan mentah daripada pelombong lain dengan menggunakan dolar Amerika Syarikat.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com