Penganjuran MIHAS 2020 dijadual semula pada 1-4 Sept

Bernama
Februari 19, 2020 09:36 MYT
Keputusan itu dibuat susulan maklum balas yang diperoleh daripada pempamer MIHAS 2020 yang berharap agar pameran perdagangan ikonik itu dijadualkan semula. - Gambar fail
Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-17 2020 (MIHAS 2020) telah dijadualkan semula pada 1-4 Sept, 2020, daripada 1-4 April, 2020, sebagai langkah untuk melindungi kesihatan dan keselamatan para peserta dan pempamer berikutan kebimbangan terhadap penularan global Covid-19.
Penganjurnya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata, keputusan itu dibuat susulan maklum balas yang diperoleh daripada pempamer MIHAS 2020 yang berharap agar pameran perdagangan ikonik itu dijadualkan semula.
"Perubahan tarikh itu juga mengambil kira trend pameran perdagangan di seluruh dunia yang memilih untuk menjadualkan semula acara mereka," kata perbadanan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
MATRADE berkata ia akan terus bekerjasama rapat dengan semua pempamer dan pengunjung bagi memastikan kejayaan MIHAS 2020.
Bagaimanapun, ia berkata menurut Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai kementerian dan agensi lain, situasi COVID-19 di Malaysia masih terkawal.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #Matrade #MIHAS 2020 #penularan wabak COVID-19 di Malaysia #perdagangan