KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengenakan pengecualian duti bagi kenderaan elektrik (EV) berkemungkinan memberi manfaat kepada segmen harga pasaran kenderaan yang lebih tinggi dalam jangka masa terdekat.

MIDF Research berkata, walaubagaimanapun, pihaknya menjangkakan langkah itu akan merangsang pengenalan lebih banyak model EV di negara ini sekali gus memperluaskan pilihan terhad pengguna pada masa ini.

"Di sebalik lima model yang telah pun ditawarkan secara rasmi di pasaran domestik, terdapat beberapa model EV yang 'berpatutan' dijual di negara jiran, khususnya, jenama China.

"Menurut IEA, terdapat kira-kira 350 model EV yang tersedia di seluruh dunia pada tahun 2020, melibatkan jarak pemanduan purata kira-kira 340km, dengan China mempunyai penawaran terluas sebanyak 149 model BEV.

"Kami melihat pengembangan jenama dan penawaran model EV sebagai fokus jangka segera sektor itu sebagai reaksi terhadap insentif EV Belanjawan 2022 Kerajaan, untuk memulakan pembangunan EV di negara ini," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

Semalam, EP Manufacturing Bhd. (EPMB) menjalin kerjasama dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) untuk meneroka Ekosistem Kenderaan Elektrik (EV) dan Penghantaran Pantas.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) selama 2 tahun antara kedua-dua pihak yang dimeterai hari ini, EPMB dan MARii bersetuju untuk meneroka penubuhan pelan Pengeluaran dan Pemasangan Tempatan bagi EV 2-roda dan 4-roda.   

Ia termasuk infrastruktur pemasaran untuk menjual EV di pasaran Malaysia, bersama sokongan rangkaian pengecasan. 

Dalam pada itu MIDF Research berkata, di sebalik perjanjian antara MARii dan EPMB, pihaknya percaya beberapa pemain tempatan tersenarai utama yang mempunyai sokongan EV yang kukuh juga berkemungkinan mendapat manfaat daripada insentif EV.

"Kami mengekalkan pendirian POSITIF kami pada sektor automotif.

"Dalam jangka masa terdekat, pemulihan dalam sektor auto dijangka akan dirangsang oleh lanjutan cuti cukai jualan sehingga Jun 2022 , persekitaran kadar faedah yang rendah, dan pemberian bantuan kewangan di bawah pelbagai program rangsangan yang telah diumumkan kerajaan," katanya.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.