KUALA LUMPUR: Berdasarkan rancangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjadikan 80 peratus penduduk boleh memanfaatkan rangkaian generasi kelima (5G) menjelang 2024, pengumuman penggabungan Celcom Digi Bhd sudah pasti akan meningkatkan dan membuka jalan kepada pengalaman selular lebih baik kepada pengguna akhir, kata seorang ahli akademik.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Leow Chee Yen berkata apabila kedua-dua pengendali besar ini bergabung, mereka akan dapat berkongsi infrastruktur rangkaian dan memanfaatkan kekuatan isyarat satu sama lain di kawasan yang mereka mempunyai kelebihan.

"Di kawasan tertentu, mungkin salah satu pengendali mempunyai liputan rangkaian yang lebih baik dan mereka boleh saling melengkapi. Mereka boleh menyediakan perkhidmatan pada rangkaian gabungan luas stesen mereka.

"Sesetengah pengendali mempunyai beberapa kelebihan dalam bidang tertentu dan melalui penggabungan ini, mereka dapat menggabungkan infrastruktur dan aset mereka supaya mereka dapat menawarkan pengalaman terbaik kepada pengguna akhir," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Leow, yang juga felow penyelidik dengan Pusat Komunikasi Tanpa Wayar UTM, berkata infrastruktur daripada kedua-dua syarikat ini sudah pasti akan menjadi titik tambah dari sudut pengguna selular.

Beliau berkata penerapan 5G meningkatkan pengehadan teknologi sedia ada - 4G, dari segi lebar jalur, ketumpatan sambungan serta kependaman, seperti yang ditunjukkan semasa pandemik COVID-19 apabila ramai pengguna mengakses Internet.

"Apabila rangkaian sibuk dengan terlalu ramai pengguna, akan ada kesesakan dalam rangkaian. Mengenai nisbah kapasiti, kita tidak mempunyai lebar jalur yang mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna dan akhirnya, pengalaman pengguna akan terjejas," katanya.

Mengenai pelancaran 5G, walaupun agak perlahan berbanding negara maju lain yang bermula pada 2019, Malaysia perlu menangani cabaran yang mungkin tidak dihadapi oleh negara lain.

Memetik Korea Selatan dan Singapura sebagai contoh, Leow berkata mereka mempunyai sambungan gentian yang sangat luas serta menyeluruh dan hanya perlu memasang stesen 5G kerana sambungan gentian tersedia untuk menyokongnya selain bentuk muka bumi Singapura menjadikannya lebih mudah untuk dilaksanakan.

Beliau berkata pelancaran 5G negara akan mengambil sedikit masa, terutamanya di kawasan di mana negara tidak mempunyai ketersediaan rangkaian gentian lebar jalur tinggi yang meluas dan mungkin memerlukan masa tambahan untuk membina rangkaian gentian bagi menyediakan sambungan ke stesen 5G.

"Kita sudah mempunyai perkhidmatan 5G komersial di Malaysia sejak 2021 di beberapa bandar utama dan akan ke bahagian lain di Malaysia. Berdasarkan rancangan MCMC untuk menjadikan 80 peratus penduduk boleh memanfaatkan 5G menjelang 2024, kita berada di landasan yang betul walaupun kita bermula agak lewat berbanding negara maju yang lain," katanya.

-- BERNAMA