KUALA LUMPUR: India adalah pembeli terbesar minyak sawit Malaysia di mana dari Januari hingga Julai tahun ini, negara itu mengimport 1.652 juta tan minyak sawit dari negara ini.

India adalah pengimport terbesar minyak sawit, membeli terutamanya dari Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Import minyak sawit India pada Ogos melonjak 94% daripada sebulan lalu kepada 1.03 juta tan, menurut Reuters.

Pembelian minyak sawit yang lebih tinggi oleh India boleh menyokong niaga hadapan minyak sawit dan membantu pengeluar utama Indonesia serta Malaysia dalam mengurangkan inventori yang melonjak.

Langkah Indonesia membenarkan eksport bebas cukai sehingga akhir Oktober meningkatkan bekalan di pasaran.

Data terkini Persatuan Minyak Sawit Indonesia menunjukkan inventori berjumlah 6.68 juta tan pada akhir Jun, berbanding sekitar 4 juta tan pada akhir 2021.

Sementara itu, inventori minyak sawit Malaysia pada akhir Ogos melonjak 14.5% daripada bulan sebelumnya kepada 2.03 juta tan, tertinggi sejak April 2020.

Pengeluaran di Malaysia, pengeluar kedua terbesar dunia meningkat 8% kepada 1.7 juta tan, mencecah kemuncak 10 bulan. - DagangNews.com