KUALA LUMPUR: Kejutan inflasi global yang meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk gangguan terhadap perniagaan dan sebagainya.

Peningkatan kadar inflasi ini sedikit sebanyak turut memberi kesan di Malaysia yang juga mencatatkan kenaikan.

Bagaimanapun menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul, pengukuran indeks inflasi yang dicatatkan adalah normalisasi biasa yang diukur dari tahun ke tahun.

“Kalau tahun lalu kita berhadapan dengan kadar kenaikan inflasi dengan tahap yang tinggi maka tahun ini mungkin berlaku sedikit normalisasi dari sudut perubahan tahun ke tahun.

"Tetapi hakikatnya dari segi indeks itu sendiri saya kira sememangnya masih lagi tinggi dan ini bermaksud kos sara hidup meningkat dan ini disumbangkan oleh pelbagai faktor,” katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya lagi perkara itu adalah biasa terutamanya apabila berlaku proses pemulihan dan pembukaan ekonomi selepas dunia berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19.

Ia menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam konteks permintaan dan penawaran yang turut menyumbang kepada peningkatan harga kenaikan barangan dan sebagainya.

“Satu sudut pandang yang kita harus amati juga selain menfokuskan kenaikan harga barang, sebenarnya kenaikan inflasi turut melambangkan bahawa pemulihan ekonomi itu sedang berlangsung.

“Apabila berlaku pemulihan ekonomi ini bermakna terdapatnya peluang-peluang pekerjaan yang banyak yang bermaksud dari sudut pendapatan juga dijangka akan lebih baik lagi,” tambahnya lagi.

Jika melihat naratif ekonomi yang sedang berlaku di Amerika Syarikat jelasnya terutamanya dari sudut dasar kewangan negara itu, negara ‘Uncle Sam’ itu kini sedang berbincang untuk menaikan kadar faedah yang sedia ada.

Perkara itu katanya menandakan bahawa negara itu sedang mengalami proses pemulihan ekonomi yang baik.

“Sebenarnya kita sedang melihat satu proses pemulihan ekonomi yang baik sedang berlangsung dan kesan sampingnanya adalah seperti kenaikan inflasi yang merupakan salah satu simptom yang perlu  dialami,” katanya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan berapa tempoh inflasi yang bakal dihadapi di peringkat global ketika ini  sama ada ia akan kekal berpanjangan atau sebaliknya.