Penyata kewangan 1MDB 2013-2014 tidak boleh diguna pakai

Astro Awani
Julai 26, 2016 13:33 MYT
Sehingga juruaudit baharu dilantik, Deloitte akan kekal sebagai juruaudit, kata 1MDB. - Gambar fail
Syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengambil keputusan bahawa penyata kewangannya bagi tahun 2013 dan 2014 yang telah diaudit tidak boleh diguna pakai oleh mana-mana pihak.
Langkah berjaga-jaga itu adalah sementara menunggu keputusan akhir mahkamah mengenai fakta beberapa dakwaan seperti yang dinyatakan dalam aduan rampasan sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pihak Lembaga Pengarah yakin bahawa tiada salah laku dibuat oleh pihak 1MDB dan penyata kewangan sebelum ini terus menunjukkan hal ehwal syarikat yang benar dan adil.
1MDB juga berkata, pihaknya komited untuk mendapatkan auditor baharu untuk 1MDB bagi menggantikan Deloitte, yang sebelum ini menytakan hasrat untuk berundur pada 26 Februari 2016.
"Sehingga juruaudit baharu dilantik, Deloitte akan kekal sebagai juruaudit,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, Deloitte akan terus mengaudit anak syarikat utama 1MDB, termasuk, etapi tidak terhad kepada TRX City Sdn. Bhd. (yang pernah dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd), Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Edra Bhd.
Pada 20 Julai 2016, pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat mengumumkan bahawa DOJ memfailkan aduan rampasan sivil ke atas entiti dan individu tertentu dan secara serentak memfailkan tindakan bagi membolehkan rampasan sivil aset tertentu atas nama pihak terlibat.
#1MDB #Deloitte #DoJ #penyata kewangan