IPOH: Perak berjaya menarik pelaburan awal bernilai RM100 juta bagi pengeluaran dan pemprosesan bahan mineral berasaskan kuarza dan silika di kawasan Silver Valley Technology Park (SVTP).

Ia tidak termasuk kos pembinaan bangunan kilang yang dianggarkan bernilai RM40 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd itu melibatkan pembinaan kilang secara Built-to-Suit and Lease (BTSL) di atas tanah seluas 11.88 ekar milik PKNPk.

"Kilang ini akan memproses mineral secara komprehensif merangkumi proses pertengahan dan juga hiliran. Ia dijangka menghasilkan pengeluaran sebanyak satu juta tan pasir silika puteh setahun, 100,000 tan pasir kuarza berketulenan tinggi serta penghasilan bahan silikon untuk digunakan bagi industri tenaga boleh baharu," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena majlis pecah tanah pembinaan kilang tersebut di Kanthan, Ipoh pada Isnin.

Hadir sama Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou Youbin; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Urusan Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd, Cui Wen Chuan.

Menurut Menteri Besar, kilang itu dijadual memulakan operasi pada suku ketiga tahun hadapan dan menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat.

Beliau yakin pembinaan kilang itu  akan menjadi pemangkin bagi pembangunan Silver Valley Technology Park, sekali gus menjana pembangunan ekonomi negeri.

Menurutnya, Perak menyumbang kepada pengeluaran hasil mineral sebanyak RM457.5 juta atau 0.6 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.

Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd adalah sebuah syarikat usahasama antara Winro Sdn Bhd dan Jinjing Group Co Ltd yang merupakan pemain industri kaca terbesar di dunia.