Perjanjian India-Asean bagi perkhidmatan dan pelaburan kini berada di peringkat akhir rundingan dan dijangka berkuat kuasa dalam masa setahun selepas perjanjian itu dimeterai, demikian Pameran Perniagaan India-Asean dimaklumkan Selasa.

Asean dan India mengadakan perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) bagi bahagian ini sejak lima hingga enam tahun lepas dan pada awalnya ia dijadualkan dimuktamadkan pada 2011.

"Para perunding telah berusaha keras, terima kasih kepada Perdana Menteri India Manmohan Singh dan para pemimpin semua 10 negara anggota Asean di atas keazaman politik mereka yang kukuh bagi menjayakan rundingan itu," kata Pengerusi Asean yang juga Menteri Perdagangan Kemboja, Dr Cham Prasidh.

Berita baik itu, katanya, kemungkinan dapat diketahui seawal esok.

"Tetapi, saya tidak mahu membuat pengumuman terlebih dahulu. Ia satu perbincangan yang sibuk. Semua telah bersetuju sekarang," katanya dalam ucapan beliau di Pameran Perniagaan dan Sidang Sulit Perniagaan India-Asean Ke-2 Selasa.

Sidang Kemuncak itu diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Peringatan India-Asean pada 20-21 Dis, 2012 di sini bagi meraikan hubungan 20 tahun New Delhi dengan Asean.

Beliau berkata kini masanya giliran sektor swasta untuk mengguna dan memanfaatkan sepenuhnya perjanjian itu.

"Semua tiga tunggak kini akan tersedia, barangan, perkhidmatan dan pelaburan. Ia adalah pasaran dengan jumlah penduduk 1.8 bilion," katanya.

Mengenai secepat mana perjanjian itu akan berkuat kuasa selepas ia dimeterai, Menteri Perdagangan, Industri dan Tekstil India Anand Sharma, berkata: "Dalam masa setahun."

Asean dan India telahpun memeterai FTA dalam barangan.

FTA dalam perkhidmatan dan pelaburan dijangka meningkatkan lagi hubungan dua hala dan perdagangan antara India dan negara anggota Asean.

Perdagangan India-Asean mencecah US$80 bilion pada 2011-12, mencatatkan pertumbuhan 29 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Perkumpulan itu menyasar meningkatkan angka tersebut kepada US$100 bilion menjelang 2015.