PADANG BESAR: Perlis menyasarkan untuk membangunkan kawasan seluas 500 hektar bagi tanaman jagung bijian menjelang tahun 2025, kata Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Nurulhisham Yaakob.

Beliau berkata sehingga kini kawasan seluas 255.5 hektar telah dibangunkan untuk tanaman itu di Lembah Chuping di sini sejak 2017, dan menurutnya industri jagung bijian yang dilihat semakin berkembang dengan baik, dapat meningkatkan pendapatan pengusaha.

Katanya peningkatan harga jualan langsung jagung bijian yang mencecah RM1,800 bagi satu tan akibat faktor perubahan cuaca global telah mendorong lebih banyak syarikat dan agensi swasta beralih kepada komoditi berkenaan.

Nurulhisham berkata pada tahun 2018, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah mengambil inisiatif memulakan semula Projek Pembangunan Industri Jagung Bijian di bawah Program Sumber Kekayaan Baharu bagi mengurangkan 30 peratus import makanan ternakan.

Beliau berkata bagi menjayakan perlaksanaan jagung bijian di Perlis, Jabatan Pertanian Negeri telah bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu syarikat peneraju yang terdiri daripada syarikat swasta, terlibat secara langsung dalam pengeluaran jagung bijian di negeri ini.

"Antara syarikat peneraju yang sedang mengusahakan penanaman jagung bijian di Perlis secara ladang kontrak adalah Syarikat GWG Sdn Bhd yang kini mengusahakan tanaman jagung bijian seluas 95.5 hektar," katanya.

Katanya tidak timbul isu pengusaha untuk memasarkan produk komoditi mereka itu di negeri ini kerana Syarikat GWG Sdn Bhd akan membeli kesemua jagung bijian mengikut harga semasa.

Nurulhisham berkata syarikat itu juga mempunyai loji memproses jagung bijian di Pauh untuk pasaran tempatan.

-- BERNAMA