KUALA LUMPUR: Permintaan dan penawaran hartanah di Malaysia merosot pada permulaan tahun ini dengan prospek ekonomi yang suram, demikian menurut PropertyGuru Malaysia.

Portal hartanah dalam talian itu berkata berdasarkan maklumat daripada data pasaran dan platform analisisnya, DataSense, berlaku aliran menurun dalam indeks permintaan jualan dengan pertanyaan hartanah menyusut sebanyak 5.6 peratus suku ke suku.

"Meskipun inflasi diunjur menyederhana pada bulan-bulan akan datang, ketidaktentuan ekonomi global telah menjejaskan minat pembeli Malaysia untuk membeli rumah berharga tinggi.

"Begitu juga, indeks penawaran jualan mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.6 peratus apabila pemilik hartanah terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam pelaburan mereka," kata PropertyGuru Malaysia dalam keluaran terkini Laporan Pasaran Hartanah Malaysia (MPMR) bagi suku kedua 2023.

Pengurus negaranya bagi Malaysia, Sheldon Fernandez berkata keputusan Bank Negara Malaysia untuk menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus akan memberi kesan kepada permintaan hartanah.

"Pembeli berpotensi dijangka menangguhkan rancangan pembelian mereka kerana kos pinjaman tinggi dan kos hidup yang tinggi. Bagaimanapun, ketika ini, masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana kesannya ke atas pasaran," katanya.

Beliau berkata terdapat isu-isu seperti kemampuan membeli rumah, kos pelaburan tinggi, permintaan dan penawaran yang tidak sepadan dan projek perumahan terbengkalai dalam pasaran tempatan yang masih belum dapat diselesaikan buat masa ini.

"Meskipun kita melihat kerajaan telah mengambil langkah permulaan untuk menangani isu-isu ini, pemaju juga perlu memainkan peranan mereka dalam menilai apa yang diperlukan oleh pembeli rumah kerana ia berubah dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan di Malaysia, peningkatan harga yang disebabkan oleh ketidaktentuan global akan terus menyumbang kepada isu kemampuan membeli rumah pada masa ini.

Menurut laporan tersebut, Johor muncul sebagai kawasan paling popular yang menarik minat pelaburan hartanah.

"Lonjakan pembangunan di Johor di jangka berterusan didorong oleh pelaburan sebanyak RM51.1 bilion pada tahun lepas," katanya.

Memandangkan pertumbuhan pesat hab digital, pasaran hartanah Johor mendapat perhatian utama dan prospek peluang pekerjaan baharu mungkin menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk berpindah ke negeri tersebut.

-- BERNAMA