KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap hartanah kediaman sekunder di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 19.2 peratus pada separuh pertama 2021 berbanding penyusutan 2.5 peratus pada separuh pertama 2020.

Pertumbuhan positif itu didedahkan iProperty.com.my menerusi Analisis Permintaan Portal Pasaran Kediaman Sekunder Separuh Pertama 2021, yang memaparkan data permintaan utama serta pandangan mengenai pasaran hartanah sekunder di Malaysia.

Menurut Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan dan Kualiti iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan, pandemik COVID-19 tidak mendatangkan kesan yang buruk ke atas segmen tersebut seperti yang berlaku pada separuh pertama tahun lalu, dimana angka permintaan pada ketika itu menjunam hingga ke paras negatif.

"Salah satu faktor penting yang menyokong pemulihan permintaan pada separuh pertama 2021 ialah para pencari hartanah mulai selesa dengan idea melakukan carian hartanah mereka di dalam talian, dimana selain daripada melayari hartanah di dalam talian, perbincangan susulan dengan ejen hartanah secara maya juga diterima sebagai salah satu norma baharu," katanya ketika membentangkan laporan tersebut secara maya, pada Selasa.

Analisis tersebut memberi tumpuan khusus di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor serta Pulau Pinang.

BACA: Permintaan kediaman di Selangor paling tinggi pada 2020, ramai berpindah ke kawasan pinggir bandar

Mengulas lanjut, Premendran berkata minat terhadap rumah teres kekal tinggi dengan peningkatan 29 peratus tahun ke tahun, sekali gus membolehkan para penjual mengekalkan harga permintaan yang tinggi pada peningkatan 1.6 peratus.

Sementara itu, permintaan terhadap kondominium, pangsapuri serta kediaman perkhidmatan kekal positif walaupun agak rendah, dengan masing-masing mencatatkan peningkatan 5.2 peratus; 11.7 peratus serta 6.8 peratus tahun ke tahun.

Walau bagaimanapun, harga permintaan rumah bangunan tinggi di semua negeri utama telah merosot akibat jumlah unit tidak terjual yang tinggi dan sebagai salah satu cara untuk penjual menarik minat para pembeli.

Premendran menambah, trend kenaikan jumlah permohonan pinjaman perumahan yang diluluskan adalah sangat menggalakkan.

"Ia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berkemampuan dari segi kewangan masih berminat untuk membeli rumah sama ada untuk kediaman mereka sendiri atau sebagai pelaburan.

Walau bagaimanapun, di sebalik angka positif ini, bakal pemilik rumah perlu membuat perancangan sebelum komited untuk membuat pinjaman jangka panjang, kerana kadar faedah mungkin tidak akan kekal rendah untuk jangka masa yang lama," katanya lagi.