KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap hartanah perumahan kini tertumpu di kawasan luar bandar pasca COVID-19.

Pengurus Negara iProperty bagi Malaysia, Shylendra Nathan berkata, keputusan itu dibuat pembeli setelah mengambil kira waktu kerja yang lebih anjal sekali gus membolehkan mereka bekerja di rumah.

Selain itu, katanya terdapat beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi trend pasaran hartanah di Malaysia seperti lokasi, kemudahan pengangkutan awam, sosial dan sebagainya.

"Permintaan dalam suasana pasca COVID-19 sudah berubah dan tidak seperti sebelum ini. Ramai yang mahu tinggal hampir dengan tempat mereka bekerja terutamanya di bandar," kata Shylendra. 

Apabila ditanya mengenai kadar penghunian ruang pejabat dan komersial di tengah-tengah trend keanjalan bekerja di rumah, beliau berkata berdasarkan hasil tinjauan, syarikat-syarikat masih sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa ketika Malaysia beralih ke fasa endemik.

"Kini, dengan pelaksanaan kerja secara hibrid, pembeli mula mencari hartanah yang lebih besar dengan kos efektif di luar bandar," tambahnya. 

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, perkara itu dapat diperincikan dari segi prospek pengguna, namun dari segi komersial pula masih belum jelas.

“Saya merasakan ramai pemilik bangunan komersial masih lagi memikirkan bagaimana mereka boleh berkembang,” katanya.